suria

Jokowi Janjikan Kemajuan Besar Birokrasi, Prabowo Ikrar Lahirkan Bangsa Bermaruah

Jokowi (kiri), Prabowo (kanan). - Foto Ihsan batamtoday.com.
JAKARTA: Perbahasan calon presiden Indonesia sampai kepada penghujungnya hari ini.

Ketika menutup perbahasannya, calon presiden Joko Widodo atau Jokowi berjanji akan membawa pembaharuan dan kemajuan besar terhadap birokrasi negara ini untuk memastikan kepentingan Indonesia tidak menguntungkan golongan tertentu semata-mata.

Pesaing beliau, Prabowo Subianto pula dalam perbahasan akhirnya berikrar akan mengubah Indonesia menjadi sebuah negara bermaruah.

Jokowi berkata sejak gandingan beliau mula ditubuhkan, beliau tidak pernah terlibat dengan politik transaksional, yang bermaksud beliau tidak pernah menjanjikan jawatan atau wang sebagai tukaran dengan sokongan yang diterimanya daripada parti politik lain.

Kata calon presiden ini, gandingan beliau merupakan suatu 'kerjasama tanpa syarat'.
 
"Negara kita...ada banyak masalah. Tetapi, kami yakin, setiap masalah ada penyelesaiannya. Nah, kehadiran kami di sini adalah untuk membuat perubahan...kami berada di sini untuk memberi kepada anda, pendekatan yang realistik," kata Jokowi seperti yang dipetik Jakarta Globe pada Ahad.

Jokowi memberi penekanan khusus kepada keIndonesiaan rakyat negara ini, mungkin sebagai respons terhadap kempen kotor yang mempertikaikan status etnik dan agama beliau.
 
"Kami, Jokowi-JK (Jusuf Kalla), akan hanya tunduk kepada perlembagaan," kata Jokowi bagi merujuk kepada Jusuf Kalla yang menjadi regunya.

Jokowi seterusnya berkata gandingan Jokowi-JK akan sentiasa setia kepada rakyat Republik Indonesia.

Jokowi mengakhiri kenyatannya dengan berdoa kepada Allah SWT agar memberi rahmat kepada seluruh rakyat Indonesia.

Prabowo pula berkata beliau berazam untuk membina sebuah demokrasi kukuh dan berjanji sekiranya dipilih, beliau akan memberi keutamaan terhadap usaha menambah baik kebajikan rakyat Indonesia.

Kata Prabowo, beliau juga ingin mewujudkan negara 'pengeluar', iaitu negara yang bukan sahaja membeli barangan dari negara lain.

Sebagai penutup, beliau berkata 'malam ini (Sabtu malam) akan berakhirlah satu kempen politik yang agak panjang'.
 
"Kami mahu membina sebuah demokrasi yang kukuh. Kami, Prabowo-Hatta dan gabungan yang menyokong kami, berjanji sekiranya kami mendapat mandat negara, kami akan berusaha dengan sedaya upaya memberi keutamaan kepada kedaulatan, kemakmuran Indonesia kita," katanya merujuk kepada regunya yang bertanding sebagai naib presiden, Hatta Rajasa.

Prabowo berkata biar apapun keputusan pemilihan itu kelak, beliau akan 'menghormati keputusan rakyat Indonesia demi kebaikan negara dan bangsa yang kita cintai ini'.

Kempen itu, yang bermula dengan kekurangan besar di pihak Prabowo, seorang bekas jeneral tentera, kemudiannya bertukar menjadi persaingan sengit untuk jawatan presiden Indonesia.

Rakyat Indonesia akan mengundi Rabu ini (9 Julai) untuk memilih pengganti Susilo Bambang Yudhoyono, yang penggal kedua lima tahunnya berakhir Oktober ini.


Jokowi, Prabowo

Artikel Lain