suria

Lelaki Bersenjata Serang Masjid Di Pattani

PATTANI: Beberapa lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid di Pattani pada awal pagi hari kedua Ramadan, mengorbankan seorang jemaah.

Mereka melepaskan tembakan rambang ke arah Masjid Nuruddin, Kampung Thamuang, Daerah Panarek, Pattani, ketika umat Islam sedang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Menurut saksi, Umar Salaemae, 66, iaitu bapa imam masjid tersebut, meninggal dunia di tempat mengambil wuduk manakala seorang lelaki dikenali sebagai Raning Tokhuamuang, 47, cedera parah.

Mereka berkata beberapa suspek yang bersembunyi dalam hutan di sebelah jalan berhadapan masjid melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah orang ramai yang hendak menunaikan solat menyebabkan keadaan kelam-kabut dengan orang ramai lari menyelamatkan diri.

Jurucakap tentera, Kolonel Pramoth Prom-in, berkata pihak tentera mengucapkan takziah kepada mangsa kejadian.

"Kami mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap orang awam di bulan Ramadan yang mulia. Di bulan ini juga Islam melarang melakukan kejahatan dan keganasan. Kami menentang segala keganasan yang berlaku pada bulan ini," kata beliau ketika mengulas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Panarek, Kolonel Polis Panyawat Phecchom berkata senjata yang diguna oleh penyerang ialah AK47 dan pistol.

Beliau berkata polis akan menyiasat motif kejadian iaitu sama ada berpunca daripada konflik atau bersifat peribadi.

Kira-kira jam 5.35 petang semalam, seorang awam dikenali sebagai Aphichat Kaso, 34, ditembak di daerah Saiburi, Pattani manakala dalam kejadian pada 5.50 petang pula, seorang penolong ketua kampong di Kampung Luangjan, daerah Khokpho, Pattani ditembak ketika sedang mengajar anaknya menunggang motosikal.

Di Yala pula, Razuan Benae, 28, ditembak di hadapan kilang di Kampung Benangkuwae, Daerah Benangsetar, pada jam 5 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.


Pattani

Artikel Lain