suria

Piala Dunia: Brazil Gerak 157,000 Anggota Keselamatan

Celso Amorim (kiri) dan Jose Eduardo Cardozo pada sidang media Piala Dunia 2014, Jumaat.
BRASLIA: Brazil, yang berdepan situasi bantahan dan mogok menggerakkan seramai 157,000 anggota tentera dan polis untuk memastikan keselamatan ketika Piala Dunia yang akan membuka tirainya 20 hari lagi.

Kementerian Pertahanan, pada Jumaat berkata akan menyediakan 57,000 tentera laut, tentera darat dan tentera udara untuk acara tersebut, termasuk 21,000 orang yang akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi situasi yang memerlukan campur tangan serta-merta.

Kementerian itu telah melabur sebanyak 709 juta reais (AS$ 322 juta) sejak 2012 untuk memodenkan angkatannya dan sebagai langkah persediaan untuk acara itu yang berlangsung dari 12 Jun hingga 13 Julai.

Menteri Keadilan Jose Eduardo Cardozo berkata beliau percaya rentetan demonstrasi dan mogok di seluruh Brazil baru-baru ini tidak akan membawa ke tahap protes seperti mana yang mencengkam negara ini tahun lepas semasa Piala Konfederasi.

Protes tersebut mengheret satu juta orang ke jalanan dan bertukar menjadi ganas selama beberapa kali dan memalukan penganjur kejohanan.

"Kami merasakan protes akan menjadi lebih kecil berbanding Jun lalu. Tetapi, dengan ikhlas saya bercakap, kita bersedia untuk sebarang keadaan," kata Cardozo kepada wartawan pada sidang akhbar bersama dengan Menteri Pertahanan Celso Amorim.

Penunjuk perasaan marah ke atas wang AS$11 bilion yang dibelanjakan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia di negara yang mempunyai jurang ketidaksamaan yang amat nyata dan keperluan mendesak dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan.

Pasukan keselamatan akan ditempatkan di 12 bandar tuan rumah dan ibu negeri Vitoria, Aracaju dan Maceio, yang mana kesemua lokasi ini akan mempunyai kem asas untuk pasukan bertanding bermain dalam perlawanan yang ditetapkan.

Kira-kira tiga juta rakyat Brazil dan 600,000 pelancong asing dijangka menghadiri Piala Dunia.
Piala Dunia, keselamatan

Artikel Lain