suria

Selatan Thai: Seorang Tentera Maut, 12 Cedera

NARATHIWAT: Seorang tentera maut dan 12 orang cedera dalam tiga kejadian letupan bom dan dua kejadian tembak menembak hari ini di Narathiwat dan Pattani, selatan Thailand.

Di Narathiwat, Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Pol. Maj. Gen. Pattanawut Angkanavin memberitahu pemberita tiga letupan bom berlaku di wilayah itu yang mencederakan sembilan orang pegawai keselamatan.

Letupan pertama berlaku pada pukul 8.40 pagi waktu tempatan di Kg Panaem, Daerah Srisakorn, sehari selepas tamat perlumbaan Srisakorn Of Road International Challenge III.

Ketua Polis Daerah Srisakorn, Pol. Col. Pawong Sanukul pula berkata bom buatan sendiri seberat 25 kilogram yang diletak di tepi jalan yang diletupkan dengan menggunakan alat walkie talkie mencederakan seorang anggota tentera.

Bom kedua pula diletupkan pada pukul 9.30 pagi di Kg Banggul Satol yang menyebabkan tiga anggota rela yang mengawal keselamatan jalan raya cedera ringan.

Tiga jam kemudian bom ketiga meletup di tempat yang sama ketika anggota skuad bom sedang menyiasat di tempat kejadian dan ia menyebabkan lima anggota skuad pemusnah bom cedera.

Di Pattani kejadian tembakan ke atas markas tentera di Kg Nat Kamis, Daerah Tunyangdaeng menyebabkan dua orang cedera parah dan seorang anggota tentera cedera ringan.

Kira-kira 100 orang anggota keselamatan yang terdiri daripada pihak tentera, polis gerakan khas dan rela yang dipimpin Lt Jen Valid Rothchanapakdee, Komander Tentera Bahagian 4 mengepong lokasi yang disyaki anggota Gerakan Pembebasan Patani bersembunyi.

Ketika operasi tersebut seorang lagi anggota tentera cedera di tembak dan kemudian meninggal dunia.

Dalam operasi tersebut, dua buah helikopter digunakan untuk mengesan suspek yang bersembunyi.
Selatan Thai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain