suria

Krisis Politik Berpanjangan Dijangka Jejas 30-40 Peratus PKS Thailand

BANGKOK: Krisis politik yang berlarutan di Thailand sudahpun mendatangkan kesan ke atas ekonominya dan mungkin menjejaskan dengan teruk perniagaannya dan malahan boleh membawa kepada penutupan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak lama lagi.

Ekonomi yang tumbuh perlahan akibat krisis itu akan mengakibatkan kesan paling buruk terhadap 30 hingga 40 peratus daripada dua juta PKS di Thailand dan syarikat yang kurang aliran tunai akan menjadi kumpulan pertama yang terjejas, kata Aat Pisanwanich, Pengarah Pusat Pengajian Perdagangan Antarabangsa (CITS), University of the Thai Chamber of Commerce.

Konflik politik itu telahpun menjejaskan sentimen pengguna dan tanpa sebarang penyelesaian, banyak PKS terpaksa menutup perniagaan mereka selepas hilang peluang perdagangan kepada pesaing mereka.

Kajian oleh CITS menunjukkan lima eksport utama Thailand - beras, minyak sawit, pakaian, kayu dan peralatan elektrik - akan terus kehilangan bahagian pasaran mereka di bawah liberalisasi pasaran Asean + 3 (China, Jepun dan Korea Selatan), katanya.

Aat berkata pengeksport produk-produk itu telahpun kehilangan daya saing mereka di bawah Asean + 3 kerana negara-negara Asean lain, terutamanya kepda Malaysia dan Indonesia yang mempunyai kelebihan kompetitif yang lebih baik.

Eksport beras Thailand terutama ke China, terjejas paling teruk berbanding produk lain, setelah hilang daya saing kepada Vietnam dan Kemboja.

Aat berkata sebelum liberalisasi pasaran Asean + 3, Thailand menguasai 96.5 peratus bahagian pasaran beras yang diimport China dari negara Asean tetapi pada 2013 ia merosot kepada 35 peratus, manakala bahagian Vietnam melonjak tinggi daripada hanya 3.5 peratus kepada 64 peratus.

Hari ini, Kemboja menguasai kira-kira satu peratus dalam pasaran beras China daripada sifar dalam tempoh enam tahun lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain