suria

Tentera Antara 9 Terkorban, 4 Cedera Dalam Pilihan Raya India

Penduduk Kashmir mengangkat mayat pegawai pilihan raya Zia-Ul-Haq yang terbunuh ketika proses pengundian pilihan raya India berlangsung. - Foto AFP
SRINAGAR: Keganasan pada pilihan raya terbesar dunia di India meningkatkan angka kematian kepada sembilan orang apabila pemberontak disyaki membunuh lima anggota tentera dan empat pegawai pilihan raya yang menaiki bas selepas proses mengundi di dua negeri di negara itu.

Keganasan berlaku Khamis lalu apabila pemberontak Maoist meledakkan periuk api di tepi jalan sebelum melepaskan tembakan kepada sebuah bas dekat Shikaripada, perkampungan di timur negeri Jharkhand, kata jurucakap polis negeri, Anurag Gupta. 

Dalam kejadian itu, lima anggota pasukan tentera dan tiga pegawai pilihan raya yang membawa peralatan mengundi terbunuh dalam serangan itu, kata Gupta. 

Pemberontak disyaki turut membunuh seorang lagi pegawai pilihan raya India, dan mencederakan empat lagi dalam serangan yang mensasarkan sebuah lagi bas di utara Kashmir yang dikuasai India. 

Mempunyai sejumlah 814 juta pengundi berdaftar, pengundian India berlangsung mengikut fasa selama enam minggu, dan keputusan dijangka diumumkan pada 16 Mei. Keganasan Khamis lalu berlaku ketika jutaan penduduk di 11 negeri keluar mengundi pada hari kedua paling besar pengundian dalam pilihan raya itu. 

Proses mengundi merangkumi 117 kerusi parlimen di keseluruhan 11 negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Ini termasuk Maharashtra, yang mana Mumbai adalah ibu kotanya, Uttar Pradesh, Madhya Pradesh, Tamil Nadu dan Rajasthan, iaitu kawasan penting bagi menentukan pemenang antara pemerintah Parti Kongres dan pembangkang nasionalis parti Hindu. 

Sementara itu di Kashmir pula, polis berkata, serangan turut mencederakan seorang pegawai pilihan raya, dua tentera dan seorang anggota polis. Daerah ini terletak kira-kira 65 kilometer di selatan Srinagar, bandar terbesar di India yang dikuasai Kashmir.

Artikel Lain