suria

Kes Rasuah Supremo F1 Bernie Ecclestone Dibicara Khamis Ini

Bernie Ecclestone.

BERLIN: Supremo Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone yang berhadapan dengan tuduhan rasuah akan dibicarakan bermula Khamis ini di Munich, yang disifatkan sebagai ancaman untuk menamatkan kepimpinan beliau.

Hartawan yang berusia 83 tahun itu menafikan tuduhan rasuah dan bersubahat bagi kes pecah amanah berhubung bayaran AS$44 juta (RM143.36 juta) yang dibuat oleh bekas pegawai bank Jerman Gerhard Gribkowsky, yang dikaitkan dengan penjualan hak Formula Satu pada 2006. 

Pendakwaan dengan 256 muka surat terhadap jutawan itu meninggalkan anggapan bahawa beliau mahu melindungi semua kos membabitkan empayarnya itu.

Ecclestone telah mengurangkan peranannya dalam penganjuran perlumbaan Formula Satu sementara menunggu keputusan perbicaraan dan merancang untuk berada di mahkamah dua hari setiap minggu.

Beliau terlepas perlumbaan Grand Prix F1 China di Shanghai pada Ahad lalu untuk persiapan kes mahkamahnya, dan masa depan Formula Satu boleh ditentukan menerusi keputusan mahkamah wilayah Munich.

Kes yang kompleks itu melibatkan hak pegangan Formula Satu oleh bank Jerman, BayernLB dan dijual kepada Britain CVC Capital Partners pada harga AS$830 juta (RM2.7 bilion).

Ecclestone menerima komisen AS$66 juta (RM214.98 juta) daripada Gribkowsky sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, dan didakwa memberikannya kembali AS$44 jut (RM143.36 juta).

Pendakwa mengesyaki tindakan itu bertujuan untuk memastikan CVC akan mendapat hak berkenaan, yang membolehkan Ecclestone mengekalkan kawalan ke atas perniagaan Formula Satu. - AFP


Bernie Ecclestone, Formula Satu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain