suria

Kapal Bawa Pengesan Kotak Hitam Dijangka Tiba Di Zon Carian

Gambar menunjukkan kenderaan dalam air berautonomi (AUV), kapal selam mini kawalan jauh atau dron laut dalam, Bluefin-21, dinaikkan kembali di atas kapal Ocean Shields, selepas ujian apungan berjaya di dalam Lautan Hindi, sebagai sebahagian daripada usaha pencarian yang berterusan bagi menjejak pesawat MAS MH370.
PERTH: Kapal Tentera Laut Diraja Australia, Ocean Shield, yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam yang dibekalkan dari Amerika Syarikat, dijadual tiba di zon pencarian pesawat MH370 pada Jumaat.

Hampir sebulan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia yang membawa 239 orang itu dengan pihak berkuasa masih tiada petunjuk sebab kehilangannya, kecuali dengan penemuan kotak hitam pesawat yang boleh meleraikan misteri berkenaan. 

Namun, pegawai yang terbabit dalam operasi mencari memberi amaran tanpa lokasi tepat di mana pesawat itu menamatkan penerbangannya di selatan Lautan Hindi, harapan menemui kotak hitam juga semakin tipis. 

Malah, operasi mencari kotak hitam kini terpaksa berlumba dengan masa apabila isyarat yang menggunakan kuasa bateri pada kotak hitam hampir berakhir beberapa hari lagi. 

Ocean Shield meninggalkan Perth petang Isnin lalu dan mengambil masa tiga hari untuk tiba di zon pencarian berkenaan. 

Kapal hidrologi Tentera Laut British, HMS Echo kini sudah berada di zon pencarian dan melakukan pengesanan secara transmisi sonic seharian pada Khamis.

Artikel Berikut

Artikel Lain