suria

Mahkamah Pakistan Secara Rami Dakwa Bekas Presiden Sebagai Pengkhianat

Konvoi yang dipercayai membawa bekas presiden Pervez Musharraf dikawal ketat dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad, Pakistan pada Isnin, 31 Mac 2014.

ISLAMABAD: Sebuah mahkamah di sini secara rasminya mendakwa bekas jeneral dan presiden negara itu, Pervez Musharraf dengan kesalahan mengkhianat atau penderhakaan - satu langkah berani bagi sebuah negara yang separuh daripada sejarahnya didominasi oleh tentera dan rampasan kuasa oleh tentera.

Dakwaan itu membawa kepada hukuman mati.

Bagaimanapun, para pemerhati masih menaruh keraguan sama ada pihak berkuasa akan meneruskan juga dengan dakwaan tersebut kerana ia boleh membawa risiko tindak balas oleh pihak tentera yang melihat Pervez sebagai seorang hero dan jeneral yang dihormati.

Pervez, 70, sebelum ini tidak dapat mengikuti sebahagian besar perbicaraan itu kerana tidak sihat dan juga atas faktor keselamatan. Dia kini dikenakan tahanan dalam rumah.

Namun apabila perbicaraan disambung semula, Isnin, Pervez muncul dan kelihatan segar serta penuh keyakinan. Ketibaannya di pekarangan mahkamah dikawal ketat oleh konvoi pasukan keselamatan.

Lebih 2,000 anggota tentera dan polis dikerahkan untuk mengawal persekitaran mahkamah dan laluan perjalanannya dari hospital tentera ke mahkamah.

Bekas jeneral yang merampas kuasa pada 1999 dan meletakkan jawatan pada 2008, mengaku tidak bersalah selepas dakwaan dibacakan ke atasnya oleh hakim Tahira Safdar, iaitu salah seorang daripada tiga barisan hakim yang membicarakan kesnya sejak Disember lalu.

Dia didakwa atas kesalahan mengisytiharkan perintah darurat secara tidak sah pada 2007 dalam usaha untuk mempertahankan kuasanya.

"Saya adalah seorang yang menghormati undang-undang, mahkamah ini dan pendakwaan ini malah saya tidak mempunyai masalah ego. Saya telah hadir di mahkamah bukan sahaja di sini tetapi juga di 16 kali di Karachi dan juga Rawalpindi," kata Pervez.

Malah beliau telah mengambil kesempatan itu untuk mengenegahkan pencapaian Pakistan di bawah pemerintahannya khususnya dalam bidang ekonomi dan pertumbuhan negara.

"Saya didakwa sebagai seorang penderhaka sedangkan saya menjadi ketua turus angkatan tentera Pakistan selama sembilan tahun dan saya telah berkhidmat dalam angkatan tentera selama 45 tahun. saya telah ke medan perang sebanyak dua kali dan adakah ini dipanggil satu penderhakaan?," soalnya sambil menambah; "Saya bukanlah seorang pengkhianat. Seorang pengkhianat yang sebenar ialah mereka yang merompak wang rakyat dan mengosongkan perbendaharaan negara."

Sebagai rekod, Pervez telah mengisytiharkan darurat pada November 2007 dan mengantung perlembagaan sejurus sebelum Mahkamah Agung memutuskan kesahihan kemenangannya sebagai presiden.

Beliau kemudian menahan dan memecat hakim-hakim yang sepatutnya membicarakan kes tersebut termasuklah ketua hakim negara.Selepas pergolakan politik 2008 dengan seluruh badan kehakiman dan guaman menentang pemerintahannya, Pervez Musharraf akhirnya meletakkan jawatan dan berhijrah ke Dubai. Beliau kembali ke Pakistan pada Mac tahun lalu dalam percubaan terakhirnya untuk menyertai pilihan raya tetapi gagal.

Pervez Musharraf merampas kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1999 dari tangan Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Nawaz Sharif kini kembali berkuasa apabila parti pimpinannya memenangi pilihan raya umum pada 2013.

Ia adalah peralihan kuasa yang pertama dari sebuah kerajaan awam kepada sebuah kerajaan awam yang lain tanpa campur tangan pihak tenteran sejak Pakistan mencapai kemerdekaan pada 1947.


Artikel Lain