suria

Angka Mangsa Hilang Kejadian Tanah Runtuh Di AS Menurun

Pasukan mencari dan menyelamat masih melakukan tugas-tugas mereka di lokasi kejadian tanah runtuh di Oso, Washington. Kejadian pada 22 Mac itu menyebabkan ramai dilaporkan hilang dan terkorban. -fotoAFP
LOS ANGELES: Bilangan orang yang disenaraikan sebagai hilang akibat kejadian tanah runtuh di Amerika Syarikat telah menurun dari 90 kepada 30, manakala jumlah kematian disahkan meningkat daripada satu kepada 18, menurut pegawai.

Mayat-mayat lain telah ditemui tetapi tidak secara rasmi dikenali, kata pegawai pengurusan kecemasan, Jason Biermann, seminggu selepas berlakunya kejadian tanah runtuh di bandar Oso di Washington.

Sekurang-kurangnya lapan mayat lain dipercayai telah ditemui awal minggu ini, menjadikan jumlah kematian dijangka sekurang-kurangnya 27 orang daripada tragedi itu .

Sebanyak 49 tempat tinggal melibatkan keluasan 2.5km persegi telah dilanda bencana dengan batu-batu dan pokok-pokok turut memusnahkan sebahagian daripada lebuh raya kira-kira 60 batu (95 kilometer) timur laut Seattle.

Terdahulu, pada Sabtu, pekerja penyelamat dan orang-orang di seluruh negeri barat laut AS di Washington diam seketika pada pukul 10.37 pagi, genap seminggu seminggu selepas tanah runtuh melanda sebagai memperingati kejadian.

Pegawai hanya mengesahkan jumlah mangsa jika mayat telah ditemui dan secara rasmi dikenal pasti oleh pihak berkuasa.

Biermann berkata tugas mengira kematian adalah sesuatu yang rumit.
tanah runtuh, Oso, Washington

Artikel Lain