suria

Calon PM India Narendra Modi Hulur Perdamaian Dengan Masyarakat Islam Jammu

Ketua Menteri Gujarat dan pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Narendra Modi berucap dalam satu rapat umum sempena kempen pilihan raya umum India di Negeri Jammu dan Kashmir pada Rabu, 26 Mac. Beliau adalah calon perdana menteri jika partinya menang dalam pilihan raya itu nanti.

HIRANAGAR (India): Calon perdana menteri India dari parti berhaluan kanan Hindu, Narendra Modi menghulurkan tangan perdamaian dengan satu-satunya negeri di India yang majoriti penduduknya ialah masyarakat Islam iaitu Jammu dan Kashmir.

Narendra sebelum ini lebih dikenali sebagai seorang nasionalis Hindu tetapi ketika turun berkempen di Jammu dan Kashmir dalam pilihan raya umum India yang akan diadakan pada 7 April, beliau berjanji akan membawa perdamaian di antara penganut Hindu dan Islam jika diberikan mandat untuk memerintah nanti.

"Kita akan mengikut jalan kemanusiaan, demokrasi dan juga menghormati masyarakat Islam Kashmiri...iaitu jalan yang telah ditunjukkan oleh Vajpayee," katanya dalam satu rapat umum di bandar ini yang bersempadan dengan Pakistan.

Beliau merujuk kepada Atal Bihari Vajpayee iaitu bekas perdana menteri India dari Parti Bharatiya Janata (BJP), iaitu parti yang diwakilinya sekarang.

Vajpayee ketika menjadi perdana menteri India telah menandatangani perjanjian damai dan gencatan senjata dengan Pakistan pada 2003.

"Kesaksamaan dan demokrasi adalah jawapan kepada segala masalah yang negara kita hadapi," ujarnya lagi dan menyeru para pengundi di Jammu dan Kashmir supaya memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin negara itu selepas ini.

India kini diperintah oleh Parti Kongres yang diterajui oleh Sonnia Gandhi iaitu isteri kepada bekas perdana menteri, Rajiv Gandhi.

Negeri Jammu dan Kashmir mempunyai enam kawasan parlimen.

Narendra Modi sebelum ini adalah ketua menteri Gujarat.

Beliau tidak begitu popular di kalangan masyarakat Islam India setelah dituduh gagal menangani pertelingkahan di antara masyarakat Islam dan Hindu di negerinya pada 2002 yang membawa kepada kematian lebih 1,000 orang - majoritinya Islam.

Wilayah Kashmir terletak di kaki gunung Himalaya terbahagi dua antara Pakistan dan India apabila kedua-dua buah negara itu dipisahkan oleh British untuk mengelakkan pertelingkahan antara masyarakat Islam dan Hindu.

Sejak India mencapai kemerdekaan pada 1947, India dan Pakistan telah berperang sebanyak tiga kali berhubung tuntutan wilayah itu.

Artikel Lain