suria

Dua Cedera Pelajar Lepaskan Tembakan Di Sekolah Tinggi Colorado

Bahagian luar sekolah turut dikepung dan diawasi pasukan polis dan penguatkuasa. -foto EPA
Bahagian luar sekolah turut dikepung dan diawasi pasukan polis dan penguatkuasa. -foto EPA
Bahagian luar sekolah turut dikepung dan diawasi pasukan polis dan penguatkuasa. -foto EPA

CENTENNIAL (Colorado): Seorang pelajar yang bersenjatakan senapang patah dan mahu berkonfrontasi dengan seorang guru, pada Jumaat melepaskan tembakan di sebuah sekolah tinggi di Colorado, mencederakan sekurang-kurangnya dua rakan sekelas sebelum bertindak mengambil nyawanya sendiri, kata pegawai penguatkuasa undang-undang.

Pelajar terbabit memasuki Arapahoe High School di pinggir bandar Denver sekitar tengah hari dengan mengacukan senapang, dan memanggil nama guru tersebut supaya keluar sebelum menembak dua pelajar, yang salah seorang daripadanya mengalami kecederaan serius, kata polis, Grayson Robinson.

Guru berkenaan bagaimanapun segera melarikan diri dari sekolah dan tidak cedera, kata Grayson.

Mayat lelaki bersenjata itu kemudiannya ditemui di dalam kelas di sekolah tersebut.

"Penembak itu mati akibat luka tembakan diri sendiri," kata Grayson.

Kejadian tembak di pinggir bandar Denver di Centennial berlaku hanya lapan batu dari tempat salah sebuah kes pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Tinggi Columbine, kes paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat, di mana dua orang pelajar menembak mati 13 rakan sekelasnya dan kakitangan sekolah sebelum membunuh diri pada tahun 1999.

Grayson berkata tidak ada tanda-tanda bahawa kejadian tembak itu mempunyai kaitan dengan ulang tahun kes tersebut.

Holly Schaefer, seorang pelajar senior berusia 18 tahun di Arapahoe High School berkata dia berada dalam kelas matematik apabila dia dan rakan-rakan pelajar lain mendengar letupan kuat.

Tidak lama kemudia ia diikuti satu bunyi tembakan lain dan "kami pasti ia adalah bunyi tembakan."

Holly berkata gurunya segera mengambil langkah keselamatan dengan menutup pintu bilik darjah dan pelajar diarah berkumpul di satu sudut bilik.

Selepas kira-kira 30 minit, Holly berkata mereka mendengar polis memberi arahan supaya keluar.

Ketika pegawai polis mengiringi keluar pelajar dari bangunan tersebut, dia berkata melihat darah di atas lantai.

Artikel Lain