suria

Menteri India Mohon Maaf Kerana Kenyataan Sensitif Mengenai Wanita

NEW DELHI: Seorang menteri di India pada Jumaat memohon maaf kerana menyebabkan ramai pihak tersinggung selepas membuat kenyataan bahawa lelaki kini 'takut untuk bercakap dengan wanita' berikutan debat umum mengenai gangguan seksual diikuti beberapa kes berprofail tinggi.

"Saya takut untuk bercakap dengan wanita kebelakangan ini. Malah saya tidak mahu mempunyai setiausaha wanita. Siapa tahu, saya mungkin akan dipenjarakan kerana satu aduan," kata Menteri Tenaga Baru dan Diperbaharui, Farooq Abdullah kepada para pemberita.

Bercakap di luar parlimen, beliau menambah bahawa beliau tidak mempersalahkan kumpulan wanita tetapi katanya, "Saya mempersalahkan masyarakat itu sendiri".

Selepas dikutuk sekeras-kerasnya oleh aktivis-aktivis hak asasi wanita yang mendakwa beliau meremeh-temehkan isu yang serius, beliau kemudiannya memohon maaf kerana mengeluar kenyataan yang menyinggung perasaan.

Bagaimanapun beliau berkata bahawa kenyataan beliau itu diputarbelitkan.

"Komen-komen saya itu sebenarnya telah disalah erti," kata Abdullah yang berasal dari Kashmir, kawasan yang majoriti dengan penduduk Muslim.

Anak lelaki Abdullah, Omar yang merupakan ketua menteri di Jammu dan Kashmir, turut sama-sama menuntut supaya bapanya itu membuat permohonan maaf.

Omar menerusi tulisan di Twitter miliknya berkata: "Saya pasti cubaan itu bukan untuk meremeh-temehkan isu penting mengenai keselamatan wanita jadi saya harap permohonaan maaf ayah hanya sebagai cubaan untuk berjenaka." - AFP

Artikel Lain