suria

Mahkamah Beijing Kekal Hukuman Penjara 10 Tahun Anak Penyanyi Tentera

BEIJING: Sebuah mahkamah di Beijing mengekalkan hukuman penjara sepuluh tahun terhadap seorang remaja lelaki, yang merupakan anak pasangan selebriti penyanyi tentera, kerana merogol seorang wanita secara beramai-ramai.

Li Tianyi, 17, merupakan anak Li Shuangjiang dari Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), yang terkenal kerana membuat persembahan lagu patriotik dalam rancangan televisyen dan acara rasmi dan sebagai Dekan Jabatan Muzik Akademi Seni milik tentera China, beliau mempunyai pangkat setaraf leftenan jeneral.

Ibu Tianyi iaitu Meng Ge, juga merupakan penyanyi terkenal dalam PLA.

Tianyi dihukum penjara pada bulan September setelah didapati bersalah merogol mangsa bersama-sama empat lelaki lain di sebuah hotel di sini pada 20 Februari lepas.

Tianyi mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu pada bulan Oktober dan kes berkenaan didengar dalam kamar pada 19 November lepas, demikian lapor agensi berita Xinhua.

Empat tertuduh lain yang turut didapati bersalah, dihukum penjara antara 3 hingga 12 tahun pada Februari lepas.

Kes itu menarik perhatian penduduk China sejak bulan Februari lepas dan kritikan baharu terhadap golongan aristokrat politik serta digelar fenomena 'orang kaya generasi kedua'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain