suria

Doktor Indonesia Adakan Demonstrasi Bantah Keputusan Mahkamah

JAKARTA: Ratusan doktor di seluruh Indonesia berdemonstrasi secara aman pada Rabu dalam tindakan solidariti bagi membantah keputusan Mahkamah Agung yang mendapati tiga rakan sejawatan mereka bersalah kerana lalai sehingga menyebabkan kematian seorang pesakit.

Laporan media menyebut dua daripada doktor itu iaitu Dr Dewa Ayu Sasiary Prawarni dan Dr Hendry Simanjuntak, telah ditangkap pihak berkuasa manakala seorang lalu masih diburu.

Bagi menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap rakan-rakan sejawatan mereka itu, sejumlah doktor hari ini yang berpakaian jaket putih dan melilitkan pita hitam di lengan kanan sebagai tanda berkabung, berdemonstrasi di beberapa tempat termasuk di hadapan Mahkamah Agung di sini, serta mengagih-agihkan lencana bertulis penolakan jenayah ke atas doktor.

Tindakan itu pada umumnya tidak menjejaskan layanan perkhidmatan di hospital dan pusat kesihatan kecuali di beberapa tempat di wilayah lain di Indonesia, yang menghadapi masalah kekurangan doktor.

Aksi para doktor itu turut mendapat sokongan Menteri Kesihatan Indonesia, Napsiah Mboi yang turut memakai pita hitam di lengan kanan beliau.

"Kami sangat mengerti perasaan mereka (para doktor), emosi mereka. Kami sangat menyokong dalam bentuk doa dan pita hitam. Itu yang kami sokong," katanya pada sidang akhbar di Jakarta pada Rabu.

Sambil menyifatkan aksi tunjuk perasaan itu sebagai hak para doktor itu, menteri kesihatan itu bagaimanapun mengingatkan mereka supaya memastikan bahawa tindakan itu tidak menjejaskan layanan dan perkhidmatan mereka kepada para pesakit.

Tunjuk perasaan itu bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Dr Dewa Ayu Sasiary Prawani, Dr Hendry Simanjuntak dan Dr Hendy Siagian, yang didapati bersalah menyebabkan kematian pesakit bernama Julia Fransiska Makatey, selepas proses pembedahan yang mereka lakukan gagal.

Julia, meninggal dunia ketika melahirkan anak di sebuah hospital, di Manado, Sulawesi Utara pada 10 April 2010.

Kes itu bermula dengan laporan ibu bapa Julia, yang mendakwa doktor terbabit kerana salah amalan, namun Mahkamah Daerah Manado yang membicarakan kes itu telah membebaskan para doktor terbabit daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun pihak pendakwa raya merayu di Mahkamah Agung dan menghasilkan keputusan sebaliknya pula, yang kemudian menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap mereka.

Ketua Umum Pengurus Besar Ikatan Dokter Indonesial (IDI) Dr Zaenal Abidin berkata tunjuk perasaan yang dilancarkaan hari ini tidak menjejaskan layanan para doktor kepada pesakit di hospital.

"Aksi ini merupakan tanda sokongan kepada doktor-doktor yang dianiaya dan kami tidak mogok. Ini kerana layanan doktor tetap berjalan lancar di wad kecemasan dan tidak semua doktor menyertai demonstrasi hari ini," katanya.

Zaenal berkata doktor yang berkhidmat di Jakarta berjumlah 20,000 orang, namun tidak semua yang turun ke jalan untuk mengadakan demonstrasi.

Bagaimanapun, Dr Zaenal menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk melancarkan mogok layanan di hospital pula seandainya pihak berkuasa tidak mendengar rintihan mereka supaya ketiga-tiga rakan sejawatan itu dibebaskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain