suria

Doktor Peribadi Michael Jackson, Conrad Murray Dibebaskan Dari Penjara

Dr Conrad Murray
Dr Conrad Murray
Dr Conrad Murray

LOS ANGELES: Bekas doktor peribadi Michael Jackson, Dr Conrad Murray yang dihukum penjara empat tahun pada 2011 setelah didapati bersalah membunuh penyanyi itu tanpa niat kerana memberikan ubat tidur yang kuat dan berlebihan telah dibebaskan dari penjara.

Ini bermakna bekas pakar kardiologis itu hanya menjalani hukuman penjara tidak sampai dua tahun selepas dihukum pada November 2011.

Rekod pejabat sherif tempatan mengesahkan yang Murray telah dibebaskan oleh Jabatan Penjara Los Angeles pada jam 12 tengah hari Isnin.

Jackson meninggal dunia pada 25 Jun 2009 selepas diberikan suntikan ubat tidur propofol yang kuat dan berlebihan oleh Murray setelah penyanyi itu mengadu tidak boleh tidur.

Penyanyi itu sedang berhadapan dengan tekanan untuk membuat kemunculan kembali ke pentas konsert yang dijadualkan berlangsung di United Kingdom dan sewaktu kematiannya sedang dalam proses membuat persediaan raptai.

Selepas menjalani perbicaraan yang panjang, Murray, 60, telah dihukum penjara empat tahun tetapi undang-undang jenayah California membenarkan hukuman pesalah dikurangkan jika dia menunjukkan sikap yang baik.

Walaupun dibebaskan, lesen perubatan doktor itu masih digantung.

Bagaimanapun menurut laporan yang disiarkan oleh stesen berita ABC, pasukan perundangan Murray sedang menyiapkan petisyen untuk difailkan di Texas bagi membolehkan lesen perubatannya dihidupkan semula.

Sementara itu, ABC juga melaporkan kenyataan ibu Michael, Katherine Jackson yang berharap, Murray tidak diberi ruang untuk kembali bekerja sebagai doktor demi keselamatan pesakit-pesakit yang lain.

Artikel Berikut

65 Terbunuh Serangan Di Iraq

Artikel Lain