suria

Airbus A350 XWB Pesaing Baru Kepada Boeing 787 Dreamliner

Tom Enders
Tom Enders
Tom Enders

SYDNEY: Pengeluar model Airbus dari Eropah, EADS meletakkan harapan yang tinggi menggunung kepada pesawat baru mereka Airbus A350 XWB sebagai pesaing terbaru Boeing 787 Dreamliner.

Pesawat berbadan lebar itu adalah model terbaru keluaran Airbus yang berpusat di Toulouse, Perancis untuk terus memberikan saingan sengit kepada Boeing.

"Model baru ini akan berada di pasaran menjelang hujung 2014 nanti. Ia bakal menjadi pesawat terbaik yang pernah dicipta di dunia," kata Tom Enders, Ketua Pegawai Eksekutif European Aeronautic Defence and Space Company (EADS) di sini.

Pesawat dengan teknologi penjimatan minyak yang baru itu dicipta untuk bersaing dengan model Boeing 787 Dreamliner.

"Walaupun A350 ini sedikit terkebelakang berbanding 787 dari segi jadual penghantaran tetapi ia jauh lebih hebat kerana berjaya mengurangkan kos pembakaran minyak berbanding saingan terdekatnya," kata Enders lagi.

Enders juga mengesahkan sejumlah 750 unit model terbaru itu telahpun ditempah oleh pelbagai syarikat penerbangan dunia.

Airbus minggu lalu mengumumkan perjanjian jual-beli berjumlah AS$9.5 bilion dengan Japan Airlines (JAL) - sekaligus mencabar kedudukan Boeing yang selama ini dianggap menguasai pasaran penerbangan Jepun menerusi model Dreamlinernya.

JAL telah menempah 18 model penerbangan jarak jauh A350-900s dan 13 model A350-1000s dengan opsyen untuk membeli 25 buah pesawat lagi pada masa depan.

Kepada satu soalan, Enders menegaskan yang mereka sebenarnya agak sedikit kecewa dengan jualan pesawat terbesar dunia A380, yang setakat ini sejumlah 111 buah telah dihantar kepada pelanggan sementara 150 buah lagi sedang menunggu giliran penghantaran.

"Adalah amat jelas yang kami tidak boleh bergantung harap kepada jualan model A380...sebahagiannya berpunca daripada krisis ekonomi yang melanda beberapa negara dan sebahagiannya lagi berpunca daripada masalah-masalah lain yang menyaksikan kami terpaksa merombak keseluruhan sistem rangkaian model pesawat berkenaan," katanya.

Bagaimanapun beliau optimistik yang penjualan model itu akan kembali meningkat kerana pesawat tidak dicipta untuk bertahan lima atau 10 tahun sebaliknya 20 hingga 30 tahun.

Boeing 787 Dreamliner - dipuji kerana penjimatan kos pembakaran bahan apinya - tetapi imejnya terjejas Januari lalu apabila ia berhadapan dengan masalah pada bateri lithium-ion yang menyebabkan meningkatkan haba dan menjadi punca kebakaran pada dua pesawat jenis itu.

Masalah itu bagaimanapun berjaya diatasi oleh Boeing.

Artikel Sebelum

Lagi Kes H7N9 Disahkan Di China

Artikel Berikut

Artikel Lain