suria

13 Maut Dilanggar Kereta Api Selepas Pulang Hantar Jemaah Haji Di Jakarta

JAKARTA: Sebuah lori pikap sarat dengan penumpang yang baru pulang manghantar jemaah haji, dilanggar sebuah kereta api di Desa Jengkok, di daerah Indramayu, Jawa Barat pada Isnin, mengakibatkan 13 orang maut manakala enam yang lain cedera.

Menurut polis, kejadian pada pukul 10.26 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori pikap itu nekad meneruskan perjalanannya di satu lintasan kereta api tidak berpalang, walaupun lampu isyarat memberi amaran bahawa kereta api akan melalui jalan berkenaan pada ketika itu.

Impak perlanggaran itu menyebabkan lori pikap itu tercampak ke dalam kawasan sawah kering, manakala kereta api dari Jakarta itu yang tidak mengalami kerosakan serius, meneruskan perjalanannya ke Solo.

Menurut saksi, sebelum kejadian berlaku penduduk sekitar lintasan kereta api itu memekik memberi amaran kepada pemandu lori pikap berkenaan bahawa kereta api sudah dekat, namun kenderaan itu tetap dipandu laju di lintasan itu.

Para penumpang lori pikap itu dilaporkan baru pulang dari menghantar jemaah haji dari kampung mereka ke Asrama Haji Indramayu.

Seorang jurucakap syarikat Kereta Api Indonesia berkata sungguhpun lintasan kereta api itu tidak berpalang, namun ia dilengkapi papan tanda dan lampu isyarat secukupnya, sehingga pengguna jalan raya boleh mengetahui jika ada kereta api akan melalui di situ pada satu-satu masa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain