NEW DELHI: India berhasrat mengekang akaun defisit semasanya (CAD) pada AS$70 bilion untuk tahun 2013-14, ataupun 3.7 peratus daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.8 peratus dalam tahun kewangan 2012-2013.
Tahun lepas, India mempunyai CAD yang lebih besar iaitu AS$88.2 bilion.
"Bagaimanapun, kami mampu menguruskan CAD berkenaan.
"Kami menambah AS$3.8 bilion kepada rizab. Kami mengawal CAD itu pada 4.8 peratus daripada KDNK," kata Menteri Kewangan, P. Chidambaram di Parlimen.
Menteri itu mengulangi beberapa langkah yang kerajaan ambil untuk mengurangkan CAD, antaranya memasukkan pemampatan dalam import emas dan perak, permintaan untuk minyak dan import barang tidak perlu.
"Kami juga akan mengambil langkah-langkah meningkatkan aliran masuk modal ke India," kata beliau.
Ekonomi India mengembang lima peratus pada tahun fiskal 2012-2013, paras paling rendah dalam sedekad. - BERNAMA


