suria

CNB Rampas 2.1kg Heroin, Berkas Empat Lelaki

SINGAPURA: Biro Narkotik Pusat (CNB) memberkas empat lelaki termasuk dua rakyat Malaysia dan merampas 2.1 kilogram dadah jenis heroin bernilai S$230,000 (S$1 = RM2.51) menerusi satu operasi pada Rabu.

Menurut kenyataan CNB, empat lelaki terbabit dipercayai menghantar bekalan dadah kepada pengedar tempatan.

Pegawai CNB mengesan sebuah lori bernombor pendaftaran Malaysia dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun berhenti di Admiralty Road yang kemudian dihampiri suspek kedua berusia 48 tahun yang mengambil satu beg plastik daripada lori itu.

Sejurus selepas lori itu beredar, suspek kedua dihampiri seorang lagi lelaki berusia 47 tahun.

Kedua-duanya yang merupakan warga Singapura diberkas pegawai CNB tidak lama kemudian di Marsiling.

Pegawai CNB turut berjaya merampas beg plastik yang dibuang suspek kedua ke dalam longkang apabila menyedari kehadiran CNB dan didapati mengandungi heroin seberat 730 gram.

Sementara itu, pegawai CNB yang mengikut lori suspek pertama berjaya menangkap lelaki berkenaan ketika pemandu warganegara Malaysia terbabit berhenti di Clementi Loop.

Ketika pemeriksaan ke atas lori itu CNB menemui dadah seberat 490 gram.

Pada hari yang sama, pegawai CNB memberkas suspek keempat, seorang rakyat Malaysia berusia 35 tahun yang bertemu dengan pemandu lori berusia 37 tahun tersebut.

Ketika pemeriksaan ke atas lori bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu suspek keempat, CNB menemui 960 gram dadah.

Artikel Lain