suria

Taman Simalem Resort Bakal Wujud Kereta Api Kabel Ala Bukit Bendera

MEDAN: Pusat peranginan terkenal Taman Simalem Resort, yang terletak di atas bukit Utara-Barat Tasik Toba di Brastagi di sini, merancang mewujudkan kereta api kabel ala Bukit Bendera di Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengarah Operasi Taman Simalem Resort, Bernard Tay berkata, kereta api kabel itu akan menghubungkan pusat peranginan yang terletak kira-kira 1,700 meter dari aras laut berkenaan dengan Tasik Toba.

"Buat masa ini, kita belum membuat apa-apa rundingan, tapi kita sudah menghantar kertas cadangan kepada pihak berkuasa tempatan. Kita cadang untuk menggunakan kontraktor yang sama (dengan Bukit Bendera) bagi membina kereta api kabel ini apabila cadangan ini diluluskan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan media Malaysia sempena Lawatan Pengenalan Penerbangan Pulau Pinang ke Medan bersama media, di sini pada Ahad.

Lawatan tiga hari dua malam yang bermula sejak Sabtu anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia dengan kerjasama Garuda Indonesia itu bertujuan mempromosikan pelancongan di Medan kepada pasaran Malaysia.

Tay berkata, penggunaan kereta api kabel itu akan memendekkan tempoh perjalanan ke Tasik Toba kepada 30 minit berbanding sejam menggunakan kenderaan.

Katanya, kereta api kabel itu antara beberapa perancangan untuk menambah baik pusat peranginan berkenaan dan setakat ini kira-kira 35 peratus daripada perancangan terbabit sudah dilaksana.

"Kita sedang menambah bilik di kawasan ini memandangkan permintaan yang cukup tinggi terutamanya pengunjung dari Malaysia, Singapura dan Eropah. Setiap tahun kira-kira 15,000 buah kereta akan memasuki kawasan ini dan jumlahnya akan bertambah terutamanya pada musim perayaan iaitu 1,000 buah kereta sehari," katanya.

Beliau berkata, selain menawarkan penginapan, pusat peranginan itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain antaranya tapak perkhemahan, zon pengembaraan dan amfiteater.

Taman Simalem Resort yang meliputi kawasan seluas 206 hektar itu beroperasi sejak 2010. Perjalanan ke pusat peranginan itu yang menggabungkan konsep pertanian dan kegiatan ekopelancongan mengambil masa kira-kira tiga jam dari kota Medan melalui jalan darat dan 45 minit dari Brastagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain