suria

Garuda Indonesia Buka Laluan Baru P.Pinang-Medan-Jeddah

MEDAN: Syarikat penerbangan, Garuda Indonesia merancang untuk menambah laluan baharu dari Pulau Pinang-Medan-Jeddah, mulai bulan depan menggunakan pesawat baharu syarikat, Boeing 777-300ER (Extended Range).

Penolong Pengurus Bahagian Jualan Garuda Indonesia, Sally Tan berkata, syarikat akan menawarkan penerbangan sekali sehari menggunakan pesawat baru itu yang berkapasiti lebih 300 tempat duduk.

"Kita telah terima pesawat baru yang mengandungi kelas pertama, kelas perniagaan dan kelas ekonomi. Laluan itu adalah yang kedua bagi laluan dari Pulau Pinang selepas Garuda Indonesia melancarkan penerbangan pertama dari negeri itu ke Medan pada Sabtu lepas.

"Laluan berkenaan akan beroperasi selepas lapangan terbang baru di Medan dibuka," katanya kepada Bernama sempena lawatan pengenalan penerbangan Pulau Pinang ke Medan bersama media di sini, Isnin.

Lawatan tiga hari dua malam anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia dengan kerjasama Garuda Indonesia itu adalah untuk mempromosikan pelancongan di Medan kepada pasaran Malaysia.

Pada Sabtu syarikat penerbangan itu memulakan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) ke Medan dengan penerbangan dua kali sehari menggunakan pesawat jenis Bombardier Next Gen yang mempunyai kapasiti 96 tempat duduk.

Tan berkata, laluan ke Jeddah itu akan memberi manfaat kepada jemaah di utara Malaysia iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang ingin menunaikan umrah tanpa perlu ke Kuala Lumpur untuk penerbangan ke Jeddah sebaliknya hanya menggunakan PIA ke Medan dan terus ke tanah suci Mekah.

"Selain dapat menjimatkan masa jemaah yang mahu ke Mekah mereka juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan kerana harga yang kita tawarkan relevan berbanding penerbangan menerusi Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, pesawat itu juga akan dilengkapi dengan perkhidmatan terbaru iaitu chef yang akan memasak makanan pilihan penumpang kelas pertama semasa penerbangan dan setaraf penerbangan lima bintang.

Tan berkata, Garuda Indonesia akan beroperasi dengan 194 pesawat menjelang 2015 dan ketika ini syarikat penerbangan itu mempunyai 112 pesawat.

"Selain itu, Garuda Indonesia yang semakin berkembang sekarang ini merancang memperluaskan perkhidmatan dengan menawarkan laluan baru antaranya dari Kuala Lumpur ke Bali pada September ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penerbangan dari PIA ke Medan selepas 10 tahun Garuda Indonesia memberhentikan laluan berkenaan, Sally berkata merupakan antara usaha syarikat mempromosikan pelancongan perubatan di Pulau Pinang.

Katanya, kebanyakan rakyat Indonesia terutama di Medan, Banda Acheh dan Padang memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar di Pulau Pinang berikutan perkhidmatan yang lebih baik serta kos yang berpatutan.

"Ada pesakit di Indonesia yang hanya batuk dan selsema sanggup mengambil penerbangan ke Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan kerana mereka lebih mempercayai doktor-doktor pakar di Malaysia.

"Setiap hari lebih 100 orang datang ke Pulau Pinang menerusi penerbangan sedia ada dan kita percaya dengan harga yang ditawarkan oleh Garuda Indonesia ia akan memberi saingan kepada syarikat penerbangan lain," katanya.

Mulai 1 hingga 7 Jun, Garuda Indonesia menawarkan promosi dari Pulau Pinang ke Medan pada RM75 untuk perjalanan dua hala dan maklumat mengenai jadual penerbangan syarikat boleh melayari laman web www.garuda-indonesia.com. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain