suria

Pengebom Boston Diibaratkan Sebagai Remaja Amerika Yang Normal

BOSTON: Remaja Boston keturunan etnik Chechen Dzhokhar dan abangnya Tamerlan Tsarnaev adalah pemastautin tetap Amerika yang datang ke benua baru itu lebih 10 tahun yang lalu dan diibaratkan sebagai remaja normal yang baik serta aktif oleh mereka yang mengenali mereka.

Dzhokhar, 19, yang berjaya diberkas oleh pasukan keselamatan lewat Jumaat adalah ahli gusti yang popular di sekolah menengahnya dan kini adalah pelajar Universiti Massachusetts.

Dia juga adalah pengguna laman Twitter, yang aktif dan berkomunikasi sepertimana remaja Amerika yang lain.

Kawan-kawan dan jiran sebenarnya telah melahirkan rasa terkejut mereka apabila namanya didedahkan oleh pihak berkuasa sebagai salah seorang daripada dua orang yang bertanggungjawab meletupkan bom buatan sendiri di acara maraton antarabangsa Boston yang berlangsung baru-baru ini.

Mereka meletupkan dua butir bom menggunakan periuk masak bermampat tinggi yang diisi dengan bebiji besi, paku dan benda tajam yang lain.

Letupan itu telah mengorbankan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, seorang pelajar universiti dari China dan seorang wanita tempatan.

Lebih 180 orang lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk beberapa mangsa yang kehilangan kaki akibat letupan yang kuat itu.

"Dia (Dzhokhar) adalah seorang remaja yang baik, sangat baik dan saya akan kata yang dia tidak berupaya untuk melakukan kekejaman ini...itu yang akan saya kata mengenainya," kata Larry Aaronson, seorang jiran kepada stesen televisyen CNN .

Sementara ramai yang mengenali Dzhokhar sebagai seorang remaja yang baik dan terkenal di kalangan rakan-rakannya tetapi tidak ramai yang mengetahui mengenai abangnya Tamerlan.

Tamerlan terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan pasukan keselamatan yang berjaya menjejaki lokasi mereka dan mengepung mereka pada Jumaat.

Pemuda berusia 26 tahun itu adalah pelajar program kejuruteraan dan meminati tinju.

Namun begitu, FBI pernah menyoal siasat Tamerlan pada tahun 2011 atas permintaan sebuah negara asing tetapi tiada apa yang dapat dikaitkan dengannya.

Pakcik kepada mereka Ruslan Tsarni berkata, anak-anak saudaranya itu tiba di Amerika dari Kyrgyzstan pada tahun 2003 dan diberi taraf pelarian politik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain