suria

Pengebom Maraton Boston Adalah Etnik Chechen

WATERTOWN (Massachusetts): Dua bersaudara yang bertanggungjawab ke atas pengeboman acara maraton antarabangsa Boston Isnin lalu adalah berbangsa etnik Chechen.

Dalam kejadian letupan bom itu, tiga orang awam terbunuh manakala 180 orang lagi cedera dengan ramai yang terpaksa dipotong kaki mereka akibat kecederaan teruk.

Mereka menggunakan periuk masak bermampat tinggi sebagai bom buatan sendiri.

Pihak berkuasa telah berjaya menembak mati salah seorang daripada mereka manakala seorang lagi telah berjaya ditahan bersembunyi di dalam sebuah bot di belakang sebuah rumah banglo di sini dalam keadaan cedera parah.

Dzhokhar Tsarnaev, 19, telah berjaya diberkas ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah bot.

Abangnya, Tamerlan, 26, telah ditembak mati dalam pertempuran dengan polis di kawasan kampus Institut Teknologi Massachusetts pada Jumaat.

Komisioner Polis Boston, Ed Davis berkata, dengan penangkapan Tsarnaev, maka berakhirlah pemburuan jenayah paling besar dalam sejarah bandar itu yang melibatkan lebih 10,000 polis tempatan, pasukan swat, pasukan anti pengganas dan juga Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Usaha mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden itu mendapat petunjuk besar apabila FBI pada Khamis mendedahkan rakaman video dan imej dua lelaki berjalan di khalayak ramai sambil menggalas beg bimbit dan kemudian meletakkan beg tersebut di atas jalan sebelum ia meletup menggunakan alat kawalan jauh.

Selepas pihak berkuasa mendedahkan identiti dua suspek bersaudara itu mereka melancarkan 'serangan terakhir' di kawasan kampus MIT yang popular itu.

Wajah mereka kemudiannya dirakam menerusi CCTV memasuki sebuah kedai serbanika berhampiran MIT pada lewat Khamis.

Polis dan pasukan keselamatan yang berjumlah hampir 10,000 anggota itu kemudiannya dikerah mengepung seluruh parameter MIT dan tidak lama selepas terkepung kedua-dua bersaudara itu melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan.

Seorang anggota polis telah terkorban dalam insiden tembak menembak itu.

Mereka kemudiannya cuba melarikan diri dari kepungan polis dengan merampas sebuah kereta Mercedes dan ketika merempuh kawalan dan sekatan keselamatan telah melontarkan bom buatan polis ke arah kepungan tersebut.

Dalam insiden kejar mengejar itu, polis berjaya menembak mati salah seorang daripada mereka manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan pendarahan yang teruk.

Ketika proses memburu penjenayah ini berlangsung, pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan penutupan semua sekolah, universiti dan kemudahan awam.

Kedua-dua adik beradik itu adalah Muslim Chechen yang berpindah ke Amerika Syarikat 10 tahun lalu.

Hasil siasatan mendapati mereka telah meluahkan rasa simpati mereka kepada perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Rusia.

Anzor Tsarnaev bapa kepada kedua-dua suspek itu dilaporkan memberitahu Agensi Berita Rusia Interfax yang anaknya adalah mangsa konspirasi pihak berkuasa.