suria

Usahawan Indonesia Minat Bangunkan Hotel Di Iskandar Malaysia

JAKARTA: Kerancakan industri pelancongan di wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, selatan Johor, yang dipacu antara lainnya oleh kehadiran pusat peranginan dan taman tema keluarga antarabangsa, telah menarik minat beberapa usahawan Indonesia untuk membangunkan hotel di kawasan itu.

Selain itu, mereka juga berminat melabur dalam sektor kesihatan, pendidikan, industri kreatif, industri minyak dan gas serta sektor makanan dan produk pertanian.

Perkembangan ini merupakan hasil promosi Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) di dua kota raya di Indonesia, iaitu Jakarta dan Surabaya pada tahun ini.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata beberapa usahawan Indonesia telah pun menyatakan minat untuk melabur dalam sektor-sektor berkenaan, sama ada secara langsung mahu pun secara tidak langsung.

"Sebagai contoh, beberapa pihak berminat membangunkan hotel di Iskandar Malaysia kerana rata-rata sekarang hotel mengalami satu kadar permintaan yang amat tinggi, sudah tentu ini menarik minat usahawan Indonesia untuk mengadakan usaha sama dengan usahawan Malaysia," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.

Ismail berada di sini kerana mengetuai Misi Penggalakan Trans-Serantau Iskandar Malaysia-Indonesia (IMITRA), yang turut disertai wakil-wakil agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta usahawan Malaysia yang melabur di Iskandar Malaysia.

Beliau berkata usahawan Indonesia yang mempunyai kelebihan, terutamanya dalam perniagaan hotel bertema keluarga seperti pangsapuri perkhidmatan, boleh menawarkan kemudahan dan keperluan penginapan selesa untuk pengunjung keluarga di Iskandar Malaysia.

Antara tempat yang menjadi tarikan pelawat ke kawasan Iskandar Malaysia pada masa ini ialah taman tema keluarga Legoland Malaysia dan Hello Kitty serta pusat jualan produk berjenama terkenal di Johor Premium Outlet.

Dalam sektor industri kreatif pula, katanya beberapa syarikat penerbitan filem di Indonesia telah juga menyatakan keinginan untuk mengambil bahagian secara positif khususnya dalam pembikinan filem yang dianjurkan melalui projek Pinewood Iskandar Malaysia Studios, yang akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

"Ini menunjukkan perkembangan yang amat sihat kerana ia bukan sahaja menunjukkan satu tahap keyakinan dan kematangan yang tinggi, malah ini adalah satu cambahan kepada usaha meletakkan Iskandar Malaysia sebagai satu kekuatan daripada sudut perfileman di rantau ini" katanya.

Beliau berkata Pinewood Iskandar Malaysia Studios, bukan sahaja memberi pengkhususan kepada pembikinan filem dan penerbitan program TV, malah melibatkan penawaran rantaian nilai dari titik permulaan hingga titik yang terakhir, yang melibatkan rangkaian prapenerbitan, penerbitan dan pasca penerbitan, pemasaran, pengedaran dan promosi.

Katanya ia juga melibatkan sektor sokongan kepada industri perfileman contohnya pembekal Perkhidmatan seperti makanan, pengangkutan, penginapan dan peralatan.

Pinewood Iskandar Malaysia Studios menumpukan aktivitinya kepada perniagaan industri pembikinan filem dan penerbitan program TV dan ia bukan bersifat taman tema untuk dilawati oleh pengunjung, katanya.

Bagaimana pun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa dari semasa ke semasa lawatan oleh orang awam boleh dibenarkan ke studio tertentu seperti yang lakukan oleh beberapa studio di Amerika Syarikat dan di Eropah.

Ismail berkata pengembangan maklumat tentang peluang-peluang pelaburan di Iskandar Malaysia kepada pelabur Indonesia merupakan suatu kesinambungan yang lojik sesuai dengan kedudukan Indonesia sebagai negara jiran Malaysia.

"Kita ingin melihat hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia, khususnya yang dapat dimanfaatkan oleh Iskandar Malaysia, adalah merupakan satu lagi kejayaan bagaimana dua negara dapat merapatkan lagi hubungan melalui perkembangan ekonomi untuk meletakkan kedudukan kedua-dua negara ini satu daya saing yang kukuh di rantau Asean," katanya.

Beliau berkata Iskandar Malaysia dan sebahagian besar wilayah di Indonesia mempunyai kedudukan yang amat dekat di antara satu sama lain dan oleh itu kedua-dua negara perlu mengambil kesempatan memanfaatkannya melalui perkembangan ekonomi.

"Sebahagian daripada wilayah yang terdapat di Indonesia, mempunyai kelebihan berbanding Iskandar Malaysia dan dalam konteks yang sama ada komponen di Iskandar Malaysia yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Jadi kedua-dua kekuatan, kelebihan yang ada di kedua-dua negara ini perlu dieksploitasi untuk memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain