suria

Ribuan Itik Mati Akibat Virus Baharu Selesema Burung di Jawa

JAKARTA: Ribuan itik di Yogyakarta, Jawa Tengah dan Jawa Timur mati akibat virus baharu selesema burung sejak empat bulan kebelakangan ini.

Perkara ini disahkan melalui ujian makmal dan penyelidikan yang dijalankan Pusat Veterinar (BBVet) di Yogyakarta.

Pakar epidemiologi BBVet Putut Djoko Purnomo berkata adalah disyaki virus baharu H5N1 itu juga menyerang spesies unggas yang lain termasuk ribuan ayam di Yogyakarta.

"Ada laporan kematian ayam secara tiba-tiba, tetapi kami masih memeriksa jika ia disebabkan oleh virus baharu," Putut dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian bahasa Inggeris, The Jakarta Post, hari ini.

Katanya virus baharu itu dikenal pasti sebagai H5N1 klad 2.3, yang dilaporkan hanya menyerang itik.

Ia digambarkan sebagai lebih malignan daripada H5N1 klad 2.1, yang menyerang ayam. Serangan awal virus baharu di tiga wilayah dicatat pada September lepas.

Setakat ini, 113,700 itik dilaporkan mati kerana virus ini di Yogyakarta, Jawa Tengah dan Jawa Timur, sejak empat bulan kebelakangan ini.

Kira-kira 64,000 itik mati di Jawa Tengah, 45,000 di Jawa Timur dan 4,700 di Yogyakarta.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Putut mengesyorkan supaya petani menggunakan bahan penyahjangkit, memusnahkan unggas yang dijangkiti dan memantau pergerakan unggas.

Katanya fumigasi tidak membawa hasil yang ketara.

Menurut Putut, Indonesia masih tidak mempunyai vaksin bagi virus baharu, yang pertama kali ditemui di Nepal pada 2010 dan kemudiannya disebarkan oleh burung hijrah ke India, China dan Jepun.

Ia tersebar ke seluruh Asia dan akhirnya sampai ke Indonesia menjelang akhir tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain