suria

Susilo Ajak Malaysia Cegah Berulangnya Insiden Penghinaan

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah mengajak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk bersama-sama mencegah berulangnya insiden penghinaan terhadap presiden ketiga Indonesia B.J. Habibie.

"Saya sampaikan kepada Pak Najib marilah kita cegah hal begini terus terjadi," kata Susilo sebagaimana dipetik agensi berita Antara, pada Jumaat.

Presiden Indonesia, yang bercakap pada sidang akhbar di Lapangan terbang Halim Perdanakusuma di sini sekembali dari lawatan kerja ke Malaysia dan India, merujuk kepada tulisan seorang bekas menteri kabinet Malaysia, yang disifatkan sebagai telah menghina Habibie.

Menurut beliau, Najib telah menyatakan bahawa tulisan itu tidak mewakili suara kerajaan Malaysia atau parti Umno yang merupakan tonggak Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah pada masa ini.

"Memang disampaikan kepada saya,...itu pandangan seseorang yang katanya disampaikan menyusul pertemuan Bapak Habibie dengan salah seorang tokoh politik di Malaysia," kata Susilo.

Laporan Antara menyebut bahawa Presiden Indonesia itu memahami bahawa Malaysia bakal menghadapi pilihan raya umum, sehingga banyak isu menjadi sensitif. Bagaimanapun, Susilo kesal dan menyifatkan tulisan bekas menteri Malaysia tentang Habibie itu sebagai tidak baik bagi hubungan persahabatan, kerjasama dan hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Sungguhpun demikian bagi saya pilihan raya umum atau tidak pilihan raya umum, tentunya harus saling menjaga, apa lagi kalau mencemarkan nama baik ketua negara atau bekas ketua negara, negara lain," katanya.

Lawatan kerja Susilo ke Malaysia pada Selasa lalu, sebelum ini dibayangi oleh keadaan kurang menyenangkan berikutan tulisan bekas Menteri Penerangan Malaysia Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengkritik Habibie.

Sehari sebelum berlepas ke Malaysia, Presiden Indonesia itu dalam komennya selepas menonton filem bertajuk "Habibie dan Ainun" di sini, telah menyatakan rasa kurang senang dengan kritikan itu, yang disifatkan sebagai tidak sepatutnya dilakukan kerana ia melukai perasaan bangsa Indonesia dan dapat mengganggu hubungan kedua-dua negara. Beliau juga telah berjanji untuk membawa isu itu dalam pertemuannya dengan Najib. -BERNAMA

Artikel Lain