suria

Wartawan Malaysia Berpeluang Saksi Sambutan Hari Kemerdekaan Kazakhstan

ASTANA (Kazakhstan): Ahad (16 Disember) adalah tarikh keramat bagi Kazakhstan yang menyambut Hari Kemerdekaan, hari yang diraikan oleh setiap rakyat negara itu berikutan ia merupakan negara terakhir republik Soviet mengisytiharkan kemerdekaan pada 1991.

Sebagai sebuah negara muda yang merdeka, Kazakhstan dengan kira-kira 17 juta penduduk dan merupakan negara dilingkungi daratan terbesar di dunia, telah mencatatkan pencapaian dan kejayaan besar, antara lain dalam sektor pelancongan, sukan, ekonomi, minyak dan tenaga.

Dalam meraikan sambutan kemerdekaan gilang gemilang yang bakal berlangsung di Astana, ibu negara itu, sekumpulan wartawan Malaysia dijemput khas oleh Kerajaan Republik Kazakhstan untuk menyaksikan sambutan itu.

Lawatan selama dua minggu itu menyaksikan wartawan berkenaan dibawa melawat ke dua bandar raya utama iaitu Astana dan Almaty untuk membolehkan mereka melihat sendiri pembangunan pesat yang dialami negara itu.

Terletak di Asia Tengah, Kazakhstan dilingkungi sepenuhnya oleh daratan dengan keluasan lebih 2.7 juta kilometer persegi.

Menurut Serik Bukebayev, Penasihat Kedutaan Republik Kazakhstan, lawatan itu dianjurkan bagi wartawan Malaysian untuk mereka melihat sendiri, kebudayaan dan adat resam serta keindahan tempat dan tarikan pelancongan di negara kesembilan terbesar di dunia itu.

"Kedutaan Kazakhstan di Kuala Lumpur berharap wakil media Malaysia akan menghasilkan laporan yang baik, termasuk pandangan mereka mengenai negara berdasarkan pengalaman manis yang diperolehi sepanjang lawatan ini," katanya.

Sejak 21 tahun lepas, hubungan dua hala antara Kazakhstan dan Malaysia adalah baik, terutama dalam sektor ekonomi.

Tercatat dalam sejarah, pada 10 Oktober 2007, angkasawan pertama Malaysia Dr Sheikh Muzaphar Shukor, dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dari Pusat Angkasa Baikanor, Kazakhstan, menerusi perjanjian antara Malaysia dan Rusia. - BERNAMA

Artikel Lain