suria

Boeing Lantik Pratyush Kumar Ketuai Perniagaan Boeing Di India

MUMBAI: Boeing melantik Pratyush "Prat" Kumar sebagai presiden Boeing India berkuat kuasa Jumaat.

Beliau menyertai Boeing dengan membawa bersama-samanya pengalaman kepimpinan dan wawasan dalam pasaran India, setelah berkhidmat dalam pelbagai jawatan eksekutif kanan di GE Transportation sejak 2003.

Kumar menggantikan Dinesh Keskar, yang pada awal tahun ini kembali ke Boeing Commercial Airplanes sebagai pemimpin kanan jualan, kata Boeing dalam satu kenyataan.

Sebagai pemimpin kanan, Kumar bertanggung jawab mengetuai pembangunan dan pelaksanaan strategi Boeing India, katanya.

Beliau akan menyelaras aktiviti perniagaan, menjajarkan keutamaan, meluaskan kehadiran Boeing dan membangunkan, mengekalkan dan meningkatkan hubungan tempatan dan usaha sama dalam negara dengan pemegangan kepentingan perniagaan dan kerajaan India.

"Prat memiliki kerjaya cemerlang dan membawa bersama-samanya pengalaman luas dalam pasaran India kepada Boeing," kata Shep Hill, Presiden Boeing International dan Naib Presiden Pembangunan dan Strategi Perniagaan.

"Prat akan memberi tumpuan terhadap usaha mengembangkan perniagaan kami dan akan memanfaatkan kejayaan yang dibangunkan oleh Dinesh Keskar sebagai presiden Boeing India," katanya.

Boeing ialah syarikat aeroangkasa terbesar di dunia serta pengeluar utama jet komersil dan pertahanan, angkasa dan sistem keselamatan.

Syarikat itu mempunyai lebih daripada 170,000 pekerja di Amerika Syarikat dan di 70 negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Guatemala Bebaskan McAfee

Artikel Lain