suria

Indonesia Puas Hati Misi Selamat Mangsa Runtuhan Banglo

KLANG: Indonesia berpuas hati dengan kecekapan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pihak berkuasa Malaysia dalam dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit di sebuah banglo di Seskyen 7, pada Khamis.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berkata operasi menyelamat yang dilaksanakan pihak berkuasa Malaysia itu berjaya menyelamatkan mangsa lain daripada terkorban.

"Ini kemalangan yang di luar jangkaan...pihak berkuasa Malaysia telah memberikan kerjasama baik dalam operasi menyelamat ini.

"Begitu juga pada pihak hospital yang merawat mangsa-mangsa kejadian, diberi layanan begitu baik sekali dan doktor juga telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam proses merawat mangsa. Kami berterima kasih untuk perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa tragedi itu di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, Jumaat.

Dalam kejadian itu, seorang buruh binaan rakyat Indonesia, Totok Mochamd Anthony maut manakala lima lagi parah apabila sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan itu runtuh. Seorang daripada mangsa putus kaki kanannya manakala 10 lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang ketika kesemua 16 pekerja binaan itu sedang melakukan kerja pengubahsuaian di bahagian dalam dan aras atas banglo dua tingkat itu.

Herman berkata pihaknya menyerahkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan untuk melakukan siasatan ke atas tragedi runtuhan itu bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Beliau berkata pihak kedutaan Indonesia sedang membuat urusan untuk membawa pulang mayat pekerja yang terbunuh selain tuntutan insurans untuk kesemua mangsa yang terlibat. "Tuntutan insurans itu perlu sebagai pampasan untuk membantu mangsa yang cedera terutamanya mangsa yang telah kehilangan sebelah kakinya dan jika ada mangsa mahu pulang ke Indonesia...kami juga akan bantu menguruskannya," kata Herman.

Beliau berkata pihak kedutaan juga telah memaklumkan kejadian itu kepada anggota keluarga semua mangsa di Jawa Timur, Indonesia. -BERNAMA

Artikel Lain