suria

12 Terbunuh Ditembak Lelaki Bersenjata Ketika Tayangan Filem 'Batman'

AURORA, Colo: Seorang lelaki bersenjata memakai topeng gas dan perisai di badan, pada Jumaat melepaskan tembakan kepada penonton tayangan tengah malam filem "Batman" di pinggir bandar Denver, membunuh 12 orang selepas melepaskan gas kanister ke panggung wayang yang dipenuhi penonton.

Bersenjatakan senapang tempur, senapang patah dan pistol, dia turut mencederakan 58 yang lain dalam amukan ketika tayangan filem "The Dark Knight Rises" di pusat beli-belah di Aurora, yang kemudiannya bertukar menjadi adegan kacau-bilau dengan mangsa yang mati atau berdarah, jeritan ketakutan dan rayuan bantuan, kata saksi.

Polis berkata seramai 59 orang cedera, manakala 30 orang lagi terus ditahan di hospital sehingga petang Jumaat dan 11 daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Pegawai-pegawai yang tiba di tempat kejadian dalam masa 90 saat selepas menerima panggilan kecemasan pertama dengan pantas menahan suspek, James Eagan Holmes, 24, di tempat letak kereta di belakang panggung wayang, di mana dia menyerah diri, kata Ketua Polis Aurora, Dan Oates.

Holmes, seorang pelajar siswazah menurut pihak berkuasa mempunyai rambut yang diwarnakan merah dan menggelarkan dirinya "Joker" dalam komik Batman, akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin.

Artikel Lain