suria

79 Terkorban, 2 Juta Hilang Tempat Tinggal Dalam Banjir Di Timur Laut India

GUWAHATI: Sekurang-kurangnya 79 orang terbunuh dan 2.2 juta yang lain terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak minggu lepas akibat hujan lebat monsun yang mencetuskan banjir di seluruh timur laut India, kata para pegawai, Isnin.

Assam, negeri yang bersempadan dengan Bhutan dan Bangladesh, paling teruk terjejas dengan tebing di sungai Brahmaputra pecah, manakala banjir besar juga melanda negeri Arunachal Pradesh dan Manipur.

Kerajaan negeri Assam berkata 26 daripada 27 daerah mengalami banjir kilat disebabkan hujan lebat yang memusnahkan beribu-ribu rumah, menyekat jalan raya dan menenggelamkan tanaman.

"Setakat ini 79 orang telah meninggal dunia dalam insiden berasingan bot terbalik atau lemas ketika cuba melarikan diri air yang sentiasa mengalir deras dan juga dalam tanah runtuh," pihak berkuasa negeri berkata dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menambah bahawa kira-kira 2.2 juta orang telah dipindahkan, dengan beribu-ribu rumah rosak dan lebih daripada 500,000 orang berlindung di kem-kem bantuan.

"Kami telah membuka kem perlindungan sementara untuk pelarian, sementara ramai lagi yang terpaksa berlindung pada platform sementara yang dibina dan dalam khemah," Menteri Kesihatan Assam, Himanta Biswa Sarma memberitahu AFP.

Pegawai berkata, lebih 70 peratus daripada Taman Negara Kaziranga yang terkenal dengan harimau, badak dan gajah satu bertanduk ditenggelami air.

"Binatang cuba untuk bergerak ke kawasan yang lebih selamat," kata warden taman, Sanjib Bora kepada AFP.

Perdana Menteri, Manmohan Singh dan presiden parti Kongres Sonia Gandhi melawat Assam pada Isnin.

Di negeri-negeri bersebelahan Arunachal Pradesh dan Manipur, hujan monsun menyebabkan banjir yang meluas tetapi terdapat tiada kematian dilaporkan.

Artikel Lain