suria

70 Juta Euro Untuk Kilang Alat Auto Baru Di Thailand

BANGKOK: Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), ahli kepada Kumpulan Bank Dunia, memperuntukkan 70 milion Euro untuk kilang alat kereta yang baru di Thailand.

Kilang baru Continental Automotive Thailand Ltd akan dibina di wilayah Ayutthaya di mana banyak kilang telah ditutup tahun lepas selepas dilanda banjir paling teruk di Thailand dalam tempoh 50 tahun.

Kilang tersebut akan menghasilkan komponen mesra alam dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam industri automotif negara yang telah terjejas oleh banjir teruk itu, kata IFC dalam satu kenyataan.

"Pembiayaan ini mengiktirafkan inovasi dan sumbangan kami dalam meningkatkan kecekapan bahan api dalam sektor automotif," kata Stefan Scholz, Bendahari Kumpulan Continental AG, syarikat induk kepada Continental Automotive Thailand.

Kilang itu akan menghasilkan komponen suntikan kejituan tinggi yang dapat meningkatkan kecekapan bahan api enjin diesel dan mengurangkan pengeluaran karbon lebih daripada 15 peratus berbanding standard serantau.

"IFC telah menunjukkan komitmen kukuh untuk menyokong kami dan membantu kami mempelbagaikan sumber pembiayaan, terutamanya dalam situasi pasaran yang sukar ini," kata Scholz.

Pakej pembiayaan ini adalah sebahagian daripada Strategi Respons Banjir Thailand IFC untuk menyokong usaha kerajaan membantu perniagaan tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana untuk pulih kembali. - BERNAMA

Artikel Lain