suria

Tujuh Terbunuh Van Terpelanting Ke Dalam Zoo Di New York

NEW YORK: Tujuh orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh pada Ahad apabila sebuah van hilang kawalan dan "terbang" di atas lebuh raya sebelum menjunam lebih daripada 100 kaki ke Zoo Bronx New York, kata polis.

Van tersebut sedang dalam perjalanan ke Bronx River Parkway apabila ia hilang kawalan, terkena palang dan terpelanting melepasi dua laluan trafik sebelum melantun ke atas dan bawah, kata pegawai.

Kenderaan terbabit terbalik di kawasan berbumbung di bawah jalan raya yang digunakan oleh zoo untuk menyimpan kereta api monorel, kata polis.

Kawasan ini bagaimanapun adalah jarak selamat dari kawasan pameran haiwan dan laluan pejalan kaki di zoo urban terbesar di dunia, yang menyimpan lebih daripada 600 spesies haiwan.

Kesemua tujuh di dalam van yang remuk akibat terjatuh telah terkorban. Nama-nama mangsa tidak disiarkan.

Penyiasat polis sedang berusaha untuk menentukan punca kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan itu.

Kemalangan itu secara tidak langsung menutup lorong arah selatan dan menyebabkan kesesakan trafik di seluruh kawasan zoo.

Artikel Lain