suria

Pilihan Raya Timor Leste: Presiden Jose Ramos-Horta Tewas Tapi Pemilihan Pusingan Kedua Terpaksa Diadakan

DILI: Penyandang jawatan, Presiden Jose Ramos-Horta tewas dalam pilihan raya presiden Timor Leste tetapi pemilihan pusingan kedua terpaksa diadakan apabila pemenang tempat pertama dan kedua gagal memperolehi kemenangan mutlak.

Pilihan raya ini adalah yang kedua dijalankan secara demokratik sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada Indonesia.

Ramos-Horta, yang merupakan pemenang hadiah Nobel untuk keamanan mengaku tewas setelah undi yang beliau perolehi hanya melayakkannya berada di tempat ketiga dalam senarai 11 orang calon yang bertanding.

Pemilihan pusingan kedua dijangka berlangsung pada 16 April depan.

Perlembagaan Timor Leste memperuntukkan undang-undang yang mewajibkan pemilihan pusingan kedua diadakan sekiranya tidak ada calon yang memperolehi undi mutlak iaitu 50 peratus sokongan ke atas.

Ramos-Horta, 62, menyandang jawatan presiden sejak 2007.

Presiden tidak memiliki kuasa eksekutif tetapi lebih sebagai ketua negara.

Pencabar terdekatnya, Francisco "Lu Olo" Guterres dan bekas panglima angkatan tentera Jeneral Taur Matan Ruak kini layak untuk bersaing di pusingan kedua bagi menentukan siapakah yang layak untuk menjadi presiden.

Pada Mei depan, Timor Leste yang mempunyai penduduk seramai 1.1 juta orang akan merayakan ulang tahun kemerdekaan yang ke-10 manakala menjelang Jun, mereka akan memilih kerajaan dan perdana menteri yang baru.

Lu Olo Guterres dan Ruak adalah bekas gerila pembebasan Timor Leste yang dahulunya dikenali dengan nama Timor Timur dan telah menghabiskan masa lebih 24 tahun hidup di dalam hutan.

Guterres, 57, memimpin parti pembangkang iaitu Parti Fretilin. Pada pemilihan 2007, beliau tewas kepada Ramos-Horta. Ketika Timor Leste memperolehi kemerdekaan pada 20 Mei 2002, beliau telah diberi penghormatan untuk mengumumkannya.

Sementara Ruak, 56, pula adalah bekas pegawai tinggi tentera yang menitik beratkan disiplin.

Beliau telah berjanji untuk mewajibkan khidmat negara sekiranya menang.

Perdana Menteri, Xanana Gusmao yang juga merupakan presiden Timor Leste yang pertama iaitu ketika negara itu mencapai kemerdekaan menyifatkan negaranya telah mencapai maksud sebuah negara demokrasi yang bebas dan telus.

"Demokrasi di negara ini menjadi dinamik dan bertenaga kerana kita semua telah berjuang untuk sekian lamanya untuk memperolehi suara dalam menentukan hala tuju negara kita sendiri. Kini kita telah meraikan proses pendemokrasian tersebut," ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain