suria

Polis Tangkap Seorang Suspek Dalam Kes Iklan Pembunuh Upahan Di Laman Web

JAKARTA: Polis Indonesia pada Jumaat menangkap seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penyediaan iklan perkhidmatan pembunuh upahan di laman web, yang sejak akhir-akhir ini menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

Suspek berusia 30 tahun itu ditangkap di Jakarta Timur pagi Jumaat dan telah di bawa ke ibu pejabat polis kontinjen Jawa Barat, di Bandung untuk siasatan lanjut.

Melalui suspek itu, polis berharap dapat mengetahui dengan lebih jelas motif iklan-iklan itu, yang sebahagian daripadanya dikatakan telah wujud sejak tahun 2008.

Media tempatan sejak beberapa hari ini melaporkan mengenai laman web dan laman blog yang menawarkan perkhidmatan pembunuh upahan.

Antara lainnya iklan itu menyatakan bahawa pembunuhan berbayar itu boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara seperti tembakan dengan senjata tetapi kelihatan seperti kes rompakan, menggunakan racun tetapi sebab kematiannya mirip kepada serangan jantung atau pembunuhan melalui kemalangan jalan raya.

Polis berkata setakat ini ia mengesan enam laman web yang memaparkan iklan pembunuh upahan itu.

Artikel Lain