suria

12 Tentera Cedera Dalam Serang Hendap Kumpulan Pemisah

BANGKOK: Dua belas anggota tentera cedera parah apabila dua pangkalan tentera di Bachok, Narathiwat, diserang hendap oleh lebih 50 anggota kumpulan pemisah di sini awal hari Jumaat.

Timbalan ketua polis Narathiwat Pol Kol Nanttadej Yoi-nual berkata dua kumpulan militan membuat serangan serentak terhadap pangkalan tentera di Kampung Sompoi dan satu lagi di pangkalan tentera yang terletak satu kilometer dari kem pertama di Jabatan Pengairan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Bantuan ketenteraan lewat dua jam berikutan sekatan laluan ke dua pangkalan tentera itu apabila kumpulan militan ketiga menumbangkan pokok, meletakkan bom dan paku di sepanjang laluan, katanya.

Beliau berkata tembak menembak antara militan dan tentera berlaku kira-kira 20 minit.

Semua yang cedera dirawat di Hospital Narathiwat dan pada masa ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar yang cedera dari setiap pangkalan, katanya.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata mereka untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah selatan Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain

Calon SPM MRSM Lipis dikuarantin