suria

Bosnia Sambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-20

SARAJEVO: Bosnia pada Khamis menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-20 daripada kehancuran republik lama iaitu Yugoslavia.

Bagaimanapun negara itu masih dihantui oleh perpecahan etnik dan kesan dari perang pada tahun 1990an.

Hanya etnik Croat yang beragama Islam yang turut sama dengan etnik Bosnia menyambut kelahiran negara Bosnia sedangkan Croat yang bukan beragama Islam dan etnik Serb enggan merayakan ulang tahun kemerdekaan negara itu.

"Sama ada anda merayakan tarikh kemerdekaan ini atau tidak, sama ada anda suka atau tidak, Bosnia-Hercegovina tetap wujud dalam peta dunia. Negara ini adalah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka," kata Zeljko Komsic, iaitu presiden Bosnia yang mewakili etnik Croat berkata.

Negara tersebut diterajui oleh tiga orang presiden yang menduduki majlis presiden yang diwakili oleh tiga etnik utama Bosnia.

"Oleh hal yang demikian kita semua iaitu Bosnia Muslim, Serbs dan Croats mesti belajar untuk hormat menghormati satu sama lain...jika tidak kita hanya akan menghabiskan masa bertelagah atas perkara yang sama berulang-ulang kali, " katanya lagi.

Perang etnik di Republik Yugoslavia yang lama antara tahun 1992-95 telah mengorbankan lebih 100,000 nyawa dan menyebabkan 2.2 juta lagi menjadi pelarian perang.

Presiden Bosnia yang mewakili masyarakat Islam, Bakir Izetbegovic pula dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata, luka lama yang masih berdarah antara etnik di negaranya akan tetap pulih dan sembuh suatu hari nanti.

"Manusia tidak mahu menghadapi konflik selama-lamanya. Mereka mahukan kehidupan yang normal," ujar Izetbegovic.

Sebagai memperingati sambutan ulang tahun kemerdekaan ini, kedua-dua pemimpin itu telah mengunjungi kawasan-kawasan yang pernah suatu ketika dahulu menjadi pertikaian ketika perang.

Mereka juga meletakkan jambangan bunga di tanah perkuburan di Sarajevo sebagai memperingati mereka yang terbunuh termasuk 1,500 orang kanak-kanak yang terkorban kerana disembelih oleh tentera-tentera Serbs ketika perang dahulu.

Sementara itu, dalam reaksi yang berbeza, pemimpin Bosnia Serbs, Milorad Dodik berkata 1 Mac adalah perayaan untuk etnik Bosnia dan Croat Islam tetapi bukannya untuk mereka dari kalangan etnik Serbs.

Artikel Lain