suria

Indonesia dan Malaysia Mula Perniagaan Tenaga Pada 2014

JAKARTA: Syarikat tenaga Indonesia, PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) merancang untuk memulakan dagangan elektrik pada skala yang besar dengan Malaysia pada 2014 selepas pembinaan rangkaian transmisi yang menghubungkan Kalimantan Barat dan Sarawak.

Pengarah Presiden PLN Nur Pamudji berkata antara 50 dan 100 megawatt elektrik boleh didagangkan melalui saluran transmisi 275 kilowatt yang telah dirancang.

Perbincangan mengenai pembinaan kemudahan yang sewajarnya kini berlangsung, kata Nur Pamudji yang dipetik sebagai berkata demikian dalam "The Jakarta Post", pada Selasa.

"Sebenarnya, kami kini mengimport elektrik dari Sarawak tetapi kapasitinya amat kecil, di bawah 1 megawatt dari loji janakuasa hidro mikro," katanya.

Nur Pamudji berkata saluran transmissi lain yang menyambungkan Indonesia dan Malaysia adalah Sumatera Selatan dan Semenanjung Malaysia.

Kabel dasar laut berkuasa 250 kilowatt akan dipasang bagi menyalurkan elektrik dari janakuasa berkuasa arang batu di Sumatera Selatan.

"Bagaimanapun, perbincangan mengenai kedua-dua saluran transmissi masih belum diperincikan," kata beliau.

Sementara itu, Murtaqi Syamsuddin dari bahagian perancangan dan pengurusan risiko PLN berkata syarikat menjangka proses tender bagi penghantara kuasa Kalimantan Barat-Sarawak akan bermula tahun ini. Syarikat akan bersama-sama dengan Sarawak Energy Bhd untuk membina rangkaian berkenaan.

"Buat sementara waktu, selepas siapnya rangkaian transmisi itu, kami merancang untuk mengimport kuasa dari loji janakuasa hidro di Sarawak," katanya sambil menambah bahawa tarif elektrik untuk eksport dan import akan ditentukan melalui rundingan perniagaan ke perniagaan dengan rakan kongsi, tertakluk kepada kelulusan daripada kerajaan Indonesia.

Perjanjian untuk penghantaran kuasa Kalimantan Barat-Sarawak, merangkumi kawasan 122 kilometer dari Bengkayang di Kalimantan Barat ke Mambong di Sarawak, telah ditandatangani pada Julai tahun lepas.

Saluran transmisi Sumatera Selatan-Semenanjung Malaysia akan digunakan untuk mengeksport tenaga elektrik, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain