suria

PM Australia Tak Nafi Keluarkan Arahan Tutup Mulut Pada Jemaah Menteri

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard pada Jumaat tidak menafikan bahawa beliau telah memberi arahan 'tutup mulut' kepada semua anggota jemaah menterinya agar tidak lagi bercakap kepada pengarang-pengarang kanan media utama negara itu tanpa kebenarannya.

Khabarnya, langkah ini adalah untuk memastikan pihak media tidak memainkan isu mengenai krisis kepimpinan Parti Buruh yang diketuainya.

Gillard buat masa ini mengetuai sebuah kerajaan campuran yang sangat lemah selepas Parti Buruh gagal memperolehi majoriti selesa pada pilihan raya umum Ogos 2010.

Sejak beberapa bulan yang lalu terdapat spekulasi kencang yang mengatakan bekas perdana Kevin Rudd, yang kini menyandang jawatan menteri luar dalam kabinet Gillard akan mencabarnya untuk jawatan pemimpin parti berkenaan.

Pada pertengahan 2010, Gillard bersama-sama pemimpin kanan Parti Buruh telah menyingkirkan Rudd dari jawatan pemimpin parti tersebut sekaligus menyebabkan beliau kehilangan jawatan perdana menteri.

Gillard kemudiannya memutuskan untuk memanggil pilihan raya umum lebih awal bagi memperolehi mandat baru.

Malangnya Parti Buruh hanya menang dengan majoriti mudah. Rudd kemudiannya dilantik sebagai menteri luar oleh Gillard sebagai langkah untuk mengendurkan ketegangan politik di kalangan kepimpinan parti berkenaan.

Akhbar berpengaruh, Sydney Daily Telegraph telah melaporkan perintah tutup mulut itu telah dikeluarkan dalam mesyuarat mingguan kabinet minggu lalu.

Kata akhbar itu, menteri kabinet kini perlu terlebih dahulu daripada pejabat perdana menteri sebelum mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan dengan pengarang-pengarang kanan.

Menurut akhbar itu lagi, arahan ini dibuat sebagai platform untuk memecat Rudd sekiranya beliau melanggar perintah.

Rudd enggan mengheret isu ini menjadi lebih panas dengan hanya sekadar menegaskan bahawa jika ada sekali pun arahan sedemikian ia adalah urusan perdana menteri.

Apabila ditanya apakah beliau berhasrat untuk kembali memimpin Parti Buruh, Rudd sekadar berkata: "Saya sebenarnya sangat-sangat gembira sekadar menjadi orang kecil yang menjaga hal ehwal luar."

Minggu lalu Gillard telah menegaskan bahawa beliau akan memimpin Parti Buruh sehingga menjelang pilihanraya umum 2013, walaupun tinjauan terkini mendapati popularitinya semakin menurun berbanding Rudd.

Daripada 1,400 pengundi yang ditinjau pandangan mereka oleh agensi tinjauan Nielsen untuk akhbar kumpulan media Fairfax - iaitu kumpulan media kedua terbesar di Australia, 57 peratus berkata mereka mahu melihat Rudd kembali memimpin Parti Buruh manakala 35 peratus lagi memilih Gillard.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain