suria

Akauntan ING Dipenjara Tujuh Tahun Kerana Mencuri

MELBOURNE: Rajina Rita Subramaniam, seorang akauntan di Sydney, dipenjara tujuh tahun pada Jumaat kerana mencuri A$45 juta daripada majikannya, ING Holdings.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Daerah New South Wales di Sydney, Michael Finnane menyifatkan jumlah yang dicuri daripada majikannya itu selama lima tahun, sebagai mengejutkan, lapor Associated Press Australia.

Wanita berusia 42 tahun itu mengaku salah terhadap 22 dakwaan memperoleh manfaat hasil penipuan dan empat dakwaan terlibat dalam jenayah.

Ketika polis pergi ke pejabatnya, mereka menemui 21 kotak yang disimpan di bawah meja dan kawasan sekitarnya.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebahagian besar barang kemas, pen, arak, kristal dan memorabilia Michael Jackson," kata hakim.

Menurut hakim, Rajina menjalani kehidupan sebagai manusia biasa bersama suaminya dan tidak menggunakan wang itu untuk membayar hutang mereka.

"Namun, beliau dianggap sebagai wanita kaya dan pelanggan setia beberapa kedai emas terkemuka," katanya.

Ada ketikanya beliau membelanjakan berjuta-juta dollar untuk satu hidangan makan tengah hari dan memberi hadiah mewah kepada pembantu kedai.

"Beliau menghadirahkan A$1.3 juta kepada seorang pembantu kedai dan ada masanya sebanyak A$240,000 kepada pembantu kedai yang lain supaya diterima dan disukai," kata hakim.

"Wanita itu mengaku terlibat dalam aktiviti seks dengan penyelia di tempat kerja serta penipuan untuk melepaskan rasa geram terhadap petugas ING atas layanan buruk mereka ke atasnya selain untuk membalas dendam," kata hakim itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain