suria

Air France Batalkan Penerbangan Jarak Jauh Ekoran Mogok

PARIS: Syarikat penerbangan Perancis, Air France mengumumkan bahawa ia terpaksa membatalkan sekurang-kurangnya 40 peratus penerbangan jarak jauh dan 30 peratus lagi ke atas penerbangan jarak dekat ekoran tindakan mogok oleh kakitangan syarikat itu yang masuk hari ketiga pada Rabu.

Sehubungan dengan itu, Air France telah menasihati para pelanggannya supaya menunda penerbangan mereka atau menukar jadual perjalanan mereka dengan menghantar notis pembatalan penerbangan menerusi emel dan juga teks pesanan ringkas.

Mogok itu dilancarkan di Lapangan Terbangan Charles de Gaulle, di sini serta beberapa lapangan terbang Perancis yang lain.

Pihak kesatuan melancarkan mogok empat hari itu sebagai protes ke atas undang-undang baru yang menuntut pekerja syarikat penerbangan secara individu perlulah memberikan notis makluman 48 jam sebelum melancarkan sebarang mogok.

Rang undang-undang itu telahpun mendapat kelulusan dewan perwakilan bulan lalu dan kini akan dibawa ke Dewan Senat untuk dibahaskan.

Menteri Pengangkutan, Thierry Mariani menegaskan bahawa rang undang-undang itu tidak akan dikaji semula kerana ia diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna iaitu para penumpang.

Artikel Lain