suria

Parti Buruh Yang Memerintah Australia Setuju Sokong Perkahwinan Sejenis

SYDNEY: Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard secara terbuka menyatakan sokongan mereka ke atas perkahwinan sejenis (gay dan lesbian).

Bagaimanapun parti itu menyerahkan kepada setiap ahli parlimen mereka secara individu untuk menentukan sama ada akan menyokong rang undang-undang bagi menjadikannya satu undang-undang persekutuan seandainya dibentangkan.

Selepas perdebatan hangat dan panjang mengenai isu tersebut pada Perhimpunan Agung Parti Buruh itu di sini, Sabtu, para perwakilan memberikan kata setuju untuk menyokong perkahwinan sejenis di negara itu.

Persetujuan itu dicapai atas prinsip persamaan hak.

Namun begitu persetujuan tersebut bertentangan dengan pendirian Julia Gillard yang secara prinsipnya menyokong pengharaman perkahwinan sejenis.

Gillard, yang berulang kali menegaskan bahawa kerajaannya tidak berhasrat untuk meminda undang-undang perkahwinan yang secara spesifik menyatakan pasangan yang disahkan sebagai suami-isteri mestilah lelaki dan perempuan, telah menyeru para perwakilan sekiranya mereka memutuskan untuk menyokong perkahwinan sejenis maka biarlah ahli-ahli parlimen Parti Buruh menentukan pendirian mengikut kata hati masing-masing sekiranya rang undang-undang perkahwinan sejenis dibentangkan di parlimen.

Cadangannya itu dipersetujui dengan 208 perwakilan menyokong dan 184 menentang.

Namun begitu ramai pemerhati beranggapan sebarang rancangan untuk mengesahkan perkahwinan sejenis tidak akan berjaya di bawa ke peringkat persekutuan kerana ahli-ahli parlimen dari Parti Konservatif tidak akan sama sekali menyokongnya.

Parti Buruh tidak memiliki majoriti dua pertiga di parlimen Australia.

Andrew Barr, Timbalan Ketua Menteri Wilayah Persekutuan Australia yang kuat menyokong perkahwinan sejenis menegaskan mereka akan membawa rang undang-undang itu ke parlimen tahun depan.

"Golongan gay, lesbian, bisexual, transgender dan interseks Australia adalah sebahagian daripada anggota masyarakat kita. Kita bukanlah sebuah masyarakat yang tidak ada nama dan wajah rupa untuk dipinggirkan," ujarnya.

Cadangannya untuk meminda undang-undang perkahwinan dan keluarga persekutuan Australia telah disokong oleh Menteri Kewangan Persekutuan, Penny Wong yang menegaskan, perhubungan dan aspirasi golongan gay dan lesbian tiada bezanya dengan rakyat Australia yang lain.

Bagaimanapun puak konservatif dalam Parti Buruh tidak sama sekali setuju dengan sokongan parti itu ke atas pasangan sejenis.

Di Australia, perkahwinan adalah sebahagian daripada undang-undang persekutuan.

Oleh yang demikian, walaupun lima negeri di Australia memberikan pengiktirafan kepada perkahwinan sejenis tetapi ia tidak diiktiraf dibawah undang-undang persekutuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain