Anak Gaddafi Cuba Dapatkan Pesawat Untuk Serah Diri – Sumber NTC

DUBAI: Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam yang menjadi orang buruan cuba mendapatkan pesawat untuk membawanya keluar dari kawasan gurun di selatan Libya bagi membolehkannya menyerah diri kepada mahkamah jenayah perang di The Hague.

Menurut sumber Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC), Saif al-Islam, 39, melarikah diri pada saat-saat bapanya dibunuh seminggu lalu oleh kumpulan yang dipercayai pejuang Libya.

Dia telah membayangkan yang dia sudah bersedia untuk menyerah diri kepada pihak pengadilan, seperti juga bekas ketua perisik Abdullah al-Senussi, kata para pegawai NTC.

Kedua-dua lelaki itu kini dalam senarai waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan ekoran tindakan mereka semasa rusuhan yang berlaku Februari lalu.

Pelbagai laporan bercanggah timbul mengenai kedudukan sebenar Saif al-Islam sejak dia menghilangkan diri dari kubu kuat Gaddafi di Bani Walid, di utara Libya, ada di antaranya mengatakan dia dan Senussi berada di Niger.

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan diperolehi daripada saki baki penyokong Gaddafi yang selamat. Seorang peguam antarabangsa yang mendakwa mewakili keluarga Gaddafi mempersoalkan kesahihan laporan NTC itu, tetapi enggan mengulas laporan mengenai usaha menyerah diri itu.

Sumber NTC berkata, Saif al-Islam belum meninggalkan Libya dan dia dilindungi oleh seorang tokoh berpengaruh dalam kalangan puak nomad Tuareg di kawasan gurun yang selama ini mendapat bantuan kewangan daripadanya. - REUTERS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amaran banjir meningkat di Bangkok

Artikel Lain