suria

Suspek Kes Rasuah Tiba Di Indonesia

JAKARTA: Lelaki paling ditunggu kepulangannya ke Indonesia, suspek kes rasuah Muhammad Nazaruddin tiba di ibu kota ini Sabtu malam di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan dan terus dibawa ke Markas Komando Polis Indonesia di Kelapa Dua, Depok, di selatan Jakarta untuk pemeriksaan kesihatan.

Buruan polis antarabangsa (Interpol) yang ditangkap di Cartagena, Colombia, Amerika Selatan, pada 7 Ogos itu diterbangkan dengan pesawat sewa khas dari Bogota, Colombia.

Pesawat sewa khas itu mendarat pada pukul 7.50 malam, sedangkan sejumlah besar wartawan dari media cetak dan elektronik telah menunggu kepulangannya sejak awal pagi ini.

Selepas pemeriksaan kesihatan dan identitinya disahkan, Nazaruddin dijadual diserah kepada Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) untuk tindakan lanjut.

Kepulangan bekas bendahari Parti Demokrat pimpinan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono itu sangat ditunggu oleh rakyat Indonesia bagi membuktikan beberapa dakwaannya yang mengheret beberapa pemimpin kanan parti itu serta beberapa ahli politik lain dalam skandal rasuah yang dikaitkan dengannya dan dikatakan boleh menggoncang parti pemerintah.

Ia termasuklah dakwaan terdapat beberapa pemimpin parti itu turut menerima aliran dana sogokan yang berjumlah besar daripada projek pembinaan perkampungan sukan Wisma Atlet di Palembang, yang akan menempatkan atlet Sukan SEA apabila Indonesia menjadi tuan rumah temasya sukan itu November ini.

Nazaruddin, yang dikehedaki oleh Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) Indonesia berhubung skandal rasuah projek pembinaan perkampungan sukan itu, melarikan diri dari Indonesia sejak 23 Mei lepas ke Singapura dan menghilangkan diri dari republik itu.

Semasa berada dalam pelarian Nazaruddin beberapa kali mengirim mesej melalui telefon bimbit Blackberry kepada media tempatan dan melemparkan pelbagai tuduhan mengenai penglibatan beberapa pemimpin lain dalam parti Demokrat berhubung kes berkenaan.

Nazaruddin juga muncul di televisyen menerusi Skype bagi membongkar kes itu dengan lebih lanjut dan kemunculan itu membolehkan pihak polis mengesan lokasinya di beberapa tempat di mana dia berkomunikasi.

Semasa ditahan di Cartagena, Colombia, Nazaruddin dipercayai menggunakan foto dan identiti palsu pada pasport dengan nama M. Syahruddin, iaitu sepupunya.

Kerajaan Indonesia menghantar pasukan dari Jabatan Imigresen, Polis, KPK dan Kementerian Luar ke Colombia untuk menangani kes itu dan menguruskan kepulangannya ke Indonesia.

Presiden Yudhoyono telah mengeluarkan arahan kepada polis untuk menjaga keselamatan Nazaruddin sehingga dia diserah kepada pihak berkuasa berkaitan untuk melalui proses undang-undang dan dihadapkan ke pengadilan. - BERNAMA

Artikel Lain