suria

Zang Toi Antara Lapan Warga Amerika Berbangsa Cina Paling Berpengaruh

NEW YORK: Zang Toi, pereka fesyen Malaysia yang berpangkalan di New York, dinamakan antara lapan warga Amerika berbangsa Cina paling berpengaruh oleh Vivid, sebuah majalah khusus untuk diaspora Cina di seluruh dunia.

Toi, yang dilahirkan di Kelantan dan membina kedudukan kukuh di New York sejak 20 tahun lalu, merupakan satu-satunya rakyat Malaysia diletakkan sebagai warga Amerika berbangsa Cina yang mempunyai pengaruh dalam kehidupan di negara itu.

Lapan individu yang dinobat sebagai paling berpengaruh ialah Amy Chua (pendidikan), Jeremy Lin (atlet), Anggota Kongres Judi Chu (politik), Ted Chen (media), William Wang (teknologi), Wilson Ko (penjagaan kesihatan), Wong Fu Productions (hiburan) dan Toi (fesyen).

Toi berkata beliau amat tersentuh dengan kedudukan yang diberikan Vivid itu.

"Saya berasa amat rendah diri dengan pengiktirafan seperti itu," katanya kepada BERNAMA sambil mengaku terkejut dengan langkah majalah itu mewujudkan kedudukan sedemikian untuk warga Amerika berbangsa Cina.

Menjelaskan kriteria di sebalik pemilihan Toi dan yang lain, Vivid berkata ia mengiktiraf "beberapa individu terpilih yang merintis jalan baru pada abad ke-21 dan yang akan terus menerajui masyarakat secara keseluruhan untuk lebih berjaya pada masa depan."

Toi, yang terkenal kerana inovasi kreatifnya dalam dunia busana anggun, digelar 'bintang yang bersinar dalam dunia fesyen Amerika'.

Beliau menganjurkan pertunjukan fesyen di pelbagai acara yang menjadi platform melancarkan produk baru, dan dikenali kerana rekaan berani.

Toi melanjutkan pengajian di Parsons School of Design dan membuka atelier pertama beliau ketika hanya berusia 28 tahun.

Pada 1990, beliau menerima Anugerah the Mouton Cadet Young Designer of the Year yang mengiktiraf pereka muda di Amerika Syarikat.

Vivid berkata anugerah itu meningkatkan keyakinan Toi untuk terus maju, namun ekoran dana yang terhad, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali melakukan segalanya sendiri, termasuk membuat salinan lakaran, menandakan setiap salinan penanda berwarna bagi menghasilkan 'the look book' serta memotong kain untuk dihantar kepada pengeluarnya di Long Island.

Apa yang membezakan Toi dengan pereka lain ialah visi beliau mengenai trend fesyen pada sesuatu masa, kata majalah itu.

"Ketika Armani mengeluarkan pakaian sukan berwarna neutral, Toi mempamerkan warna-warna ceria seperti fuchsia dan jingga, merah jambu terang dan merah, hijau pucuk pisang serta ungu," katanya.

Pilihan berani beliau daripada segi warna dan rekaan menarik perhatian Anna Wintour, yang menjadi editor fesyen pertama memperjuangkan karyanya.

Ketika itu, Wintour baru bertugas sebagai editor majalah Vogue dan merancang mengeluarkan satu artikel hebat bagi isu Mac berkaitan pereka fesyen baru pada era 90-an.

Wintour menggemari koleksi pertama Toi, dan tiga bulan kemudian memaparkan kisahnya dalam Vogue, sekaligus menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama yang ditampilkan majalah tersebut.

Artikel Lain