suria

Spesies Burung Kiwi Putih Ditemui Di New Zealand

WELLINGTON: Kelahiran burung kiwi berwarna putih (gambar) yang jarang-jarang berlaku telah mencatatkan satu perkembangan positif ke atas program pembiakan binatang yang menjadi ikon nasional bagi New Zealand yang kini diklasifikasikan sebagai hampir pupus.

Program untuk membiakkan spesies burung itu kini sedang dibangunkan di pulau utara New Zealand.

Kiwi jantan yang baru dilahirkan itu yang dinamakan 'Manukura' yang membawa maksud ketua kaum dalam bahasa puak Maori telah menetas pada 1 Mei lalu di Pusat Perlindungan Burung Kiwi Pukaha yang terletak di Utara Wellington, kata jurucakap Jabatan Pemuliharaan New Zealand.

"Sepanjang pengetahuan kami, inilah buat pertama kalinya seekor anak burung kiwi yang berwarna putih sepenuhnya berjaya menetas di dalam pemeliharaan," Kata Pengerusi Pukaha, Bob Francis.

Burung kiwi kebiasaannya berwarna coklat tetapi Francis berkata, susur galur genetik Manukura mungkin ada yang berwarna putih yang membolehkannya dilahirkan dengan warna bulu yang jarang-jarang berlaku itu.

Yang pasti katanya anak burung itu bukanlah albino.

Ia adalah salah seekor daripada 14 anak burung kiwi yang berjaya ditetaskan di pusat perlindungan itu tahun ini berbanding secara puratanya hanya dua ekor setahun dari 2005 hingga 2010.

Spesies burung yang tidak boleh terbang itu kini diancam oleh spesies yang lebih dominan seperti tikus, kucing, anjing, possum dan ferret.

Jabatan Pemuliharaan New Zealand menganggarkan buat masa ini terdapat kurang dari 70,000 ekor burung kiwi hidup secara liar di New Zealand.

Pusat Perlindungan Pukaha, ditubuhkan pada tahun 2001, adalah sebuah kawasan hutan kekal.

Di pusat ini, burung dewasa dibiarkan bebas tetapi telurnya kemudian dikutip dan ditetaskan di pusat penetasan burung kiwi, yang mana anak burung akan dijaga dan dipelihara sehingga mereka cukup matang untuk berdikari dan dilepaskan semula ke dalam hutan.

Artikel Lain