suria

Konvoi JWJ2 Tiba Di Destinasi Pertama di Bandar Trang, Thailand

TRANG (Thailand): Kesemua 35 anggota konvoi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) selamat tiba di destinasi pertama mereka di Bandar Trang, Thailand pada Jumaat, selepas menempuh beberapa masalah kecil pada hari pertama perjalanan.

Sebuah daripada 11 kenderaan pacuan empat roda konvoi itu mengalami kerosakan berhampiran Wang Kelian, di sempadan Perlis-Thailand.

"Perjalanan kita ok sehinggalah nak masuk border Bukit Kayu Hitam, satu kenderaan kita mengalami kerosakan teruk di bahagian enjin.

"Jadi kita buat keputusan untuk tinggal kenderaan tersebut, dan dua passenger itu kena hop kenderaan lain," kata penasihat program Saiful Anwar Yahaya kepada Bernama.

Beliau berkata kejadian itu tidak menjejaskan semangat peserta untuk meneruskan perjalanan, walaupun terlewat sedikit tiba di destinasi yang ditetapkan.

"Tak sesat tapi mengikuti perjalanan yang terlalu mengikut GPS (Global Positioning Sytem), ia mengambil sedikit masa, kerana kita tak tahu jalan yang kita ikuti," katanya.

Ekspedisi pada hari pertama melibatkan perjalanan sejauh 800km.

Pengarah ekspedisi Zaid Muhammad Mohd Rais berkata dua program diadakan di Bandar Satun, Thailand, semalam.

"Yang pertama dengan pelajar Sekolah Agama Nurul Adlah di mana kita memberi sumbangan kewangan sebanyak RM3,000 dan makanan harian kepada pihak sekolah dan juga klinik al-Quran.

"Yang kedua kita melawat ke Kampung Guar, Mukim Lima Bandar Satun, satu-satunya kampung berbahasa Melayu di sini," katanya.

Ekspedisi hari kedua konvoi berkenaan disambung hari ini melibatkan jarak kira-kira 650km.

Ekspedisi 25 hari ini adalah anjuran bersama Majma' Budaya dan Warisan Jawi serta Kelab Putra 1Malaysia dengan sokongan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ekspedisi untuk menjejaki warisan Melayu ini akan meredah laluan sejauh 10,000km melibatkan tujuh negara -- Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain