suria

Pengasas Bank "Tekun" Bangladesh Gagal Pertahan Jawatan

DHAKA: Pengasas Bank Grameen iaitu sebuah institusi ala Tekun di Bangladesh gagal untuk mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi bank berkenaan apabila Mahkamah Agung memutuskan Bank Negara Bangladesh mempunyai kuasa memecatnya dari jawatan tersebut.

Muhammad Yunus, yang juga merupakan penerima anugerah Nobel kerana konsep bantuan mikro kredit yang diperkenalkannya telah berjaya melahirkan begitu ramai usahawan desa dan kecil telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Agung untuk mendapatkan perintah bahawa arahan bank pusat negara itu tidak sah dan terbatal.

Bank pusat Bangladesh sebelum ini tidak meluluskan pelantikan semula Muhammad sebagai pengerusi bank berkenaan kerana ia bercanggah dengan undang-undang tubuh Bank Grameen yang menetapkan had umur persaraan untuk jawatan berkenaan ialah 60 tahun. Muhammad Yunus kini berusia 70 tahun.

Muhammad Yunus telah menerima surat arahan mengosongkan jawatannya pada 2 Mac lalu daripada Bank Negara Bangladesh atas alasan beliau gagal memperolehi kebenaran daripada bank pusat berkenaan apabila dilantik semula untuk menerajui Bank Grameen pada rahun 1999.

Mahkamah Tinggi pada 8 Mac lalu mengekalkan keputusan bank pusat berkenaan atas alasan keputusan itu adalah sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, Muhammad Yunus membelakangi keputusan tersebut dengan datang bekerja di Bank Grameen seperti biasa malah melancarkan prosiding undang-undang untuk terus kekal di bank yang diasaskannya itu.

Bank Grameen yang mana 25 peratus daripada kepentingannya dimiliki oleh kerajaan pusat mengaji lebih 24,000 pekerja di seluruh negara dan menyediakan bantuan kredit kepada lapan juta pelanggan yang kebanyakkannya adalah peniaga luar bandar.

Konsepnya telah ditiru di serata dunia termasuk di Malaysia yang dikenali sebagai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau Tekun yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Artikel Lain