suria

Anak Mbah Maridjan Dipilih Juru Kunci Merapi Yang Baru

JAKARTA: Kekosongan jawatan juru kunci Merapi berikutan kematian tragik penyandang sebelum ini, Mbah Maridjan dalam kejadian letusan gunung berapi itu pada 26 Okt tahun lepas, akhirnya diisi oleh anak lelaki ketiga beliau bernama Asih.

Pemilihan Asih, 45, sebagai juru kunci Merapi yang baru itu diumumkan Istana Yogyakarta, Kesultanan Ngayogyokarta Hadiningrat semalam setelah menyenarai pendek 10 daripada 18 calon dalam kalangan abdi dalem (pembantu setia istana) Keraton Yogyakarta, media tempatan melaporkan hari ini.

Istiadat pelantikan dan pemberian gelar berlangsung di Yogyakarta hari ini.

Setiausaha Agung Keraton Yogyakarta, Gusti Bendoro Pangeran Haryo, Joyokusumo, yang juga adik kepada Sri Sultan Hamengku Buwono X, berkata setelah rasmi dilantik, Asih diwajibkan untuk bertindak secara terselaras dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan, jika sesuatu hal terjadi di Gunung Merapi, sesuai dengan kedudukannya sebagai tokoh masyarakat yang menjadi contoh ikutan.

Sungguhpun jawatan juru kunci Merapi bukan bersifat warisan, secara kebetulan, Asih merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang memikul tugas itu selepas bapanya Mbah Maridjan dan datuknya Mbah Darso, sebelum itu.

Mbah Maridjan atau Mas Penewu Surakso Hargo, yang terkenal dengan sifat keberanian kerana enggan meninggalkan rumahnya walaupun terancam bahaya terkena awan panas abu gunung berapi Merapi, meninggal dunia dalam keadaan bersujud ketika gunung berapi berusia 400,000 tahun itu meletus dan semburan awan panas menimpa rumahnya pada 26 Oktober tahun lalu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain